KUALA LUMPUR, 8 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyatakan kerajaan telah memutuskan untuk membuka sempadan negara mulai 1 April ini.
Beliau menyatakan perkara tersebut semasa mengumumkan Fasa Peralihan Ke Endemik yang akan bermula pada 1 April 2022.
“Saya percaya, ini antara pengumuman besar yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat,
“Pengumuman ini juga akan merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik,” katanya.
Selain daripada itu, individu yang telah lengkap vaksinasi perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 dan tidak perlu menjalani kuarantin .
“Bagi yang telah menerima vaksinasi lengkap, tiada keperluan untuk menjalani sebarang tempoh kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan,” katanya.
Beliau menambah, SOP perjalanan bagi status vaksinasi yang lain akan diperincikan oleh Menteri Kesihatan, esok.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi mereka sebaik sahaja negara memasuki fasa endemik.
had waktu operasi perniagaan turut dimansuhkan.
“Had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan dan pemilik premis boleh melaksanakan waktu operasi mengikut syarat lesen operasi,
“Pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib dipatuhi oleh setiap individu,” katanya.
Selain daripada itu, pendaftaran kemasukan MySejahtera masih diwajibkan kecuali untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai.
“MySJtrace diwajibkan untuk tempat tertutup yang dipenuhi tetamu/pengunjung,” katanya.
Selain daripada itu had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai turut dimansuhkan.
“Dengan pengumuman peralihan ke endemik, had tersebut akan dimansuhkan secara menyeluruh,
“Tiada lagi had kapasiti 50%. Namun, penjarakan fizikal sangat penting dan masih digalakkan,” tambahnya. – airtimes.my