SUBANG, 7 Mac – Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM dilantik menjadi Panglima Tentera Udara (PTU) ke-20 berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM yang bersara wajib September ini.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata, Mohd Asghar Khan dilahirkan pada 26 Disember 1965 di Selangor dan memulakan karier dengan menyertai latihan sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD) pada 18 Julai 1983.
Beliau telah memulakan kerjaya sebagai juruterbang pesawat pejuang TUDM pada tahun 1985.
“Mohd Asghar Khan telah menerbangkan pesawat pejuang A4 Skyhawk, F-5E, MiG-29N dan Sukhoi 30MKM,
“Beliau mengikuti kursus jurulatih penerbangan di RAAF East Sale, Australia pada tahun 1992 dan juga merupakan jurulatih pesawat F-5E dan MiG-29N,” katanya.
Majlis Serah Terima Tugas PTU diadakan di Pangkalan Tentera Udara, Subang antara Ackbal dan Mohd Asghar Khan disaksikan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM, hari ini.
Terdahulu, majlis pemakaian pangkat ‘Jeneral TUDM’ kepada Mohd Asghar Khan telah disaksikan Affendi.

Majlis Serah Terima Tugas Panglima Tentera Udara diadakan di Pangkalan Tentera Udara, Subang antara Ackbal dan Mohd Asghar Khan disaksikan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM
Di sepanjang perkhidmatannya, Mohd Asghar Khan telah diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan penting di dalam TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai jurulatih, staf dan pemerintah.
“Antara jawatan yang pernah di sandang adalah Pegawai Memerintah No 19 Skuadron MiG-29N, Pegawai Memerintah No 11 Skuadron SU-30MKM, Komander Pangkalan PU Gong Kedak, Asisten Ketua Staf Operasi dan Strategi (Markas Tentera Udara), AKS Operasi dan Latihan (J3) Markas Angkatan Bersama, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara dan Timbalan Panglima Tentera Udara,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau telah menghadiri pelbagai kursus profesional dan ketenteraan di dalam dan luar negara seperti Kursus Peralihan Pesawat MiG-29 di India, Kursus Jurulatih Penerbangan di Australia serta Kursus Staf di Maktab Turus Angkatan Tentera, Kuala Lumpur.
Selain itu, adalah Kursus Pertahanan di Air War College Karachi, Pakistan, Kursus Royal College Of Defence Studies (RCDS) di UK dan Advance Management Program di Harvard Business School Boston, Amerika Syarikat.
Beliau juga mempunyai kelulusan Master’s Degree in Strategic Studies dari Universiti Islamabad, Pakistan (2008), Diploma Kajian Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (2002), dan Diploma Pengajian Pertahanan dari Universiti Malaya (1999).
Mohd Asghar Khan telah mendirikan rumahtangga bersama Datin Seri Bibi Nasratjahan Gulab Khan pada 3 Apr 1993 dan dikurniakan 3 orang cahaya mata. – airtimes.my