Home Pertahanan dan Keselamatan Jalan diplomasi adalah penyelesaian tepat dalam isu Laut China Selatan – Wisma Putra

Jalan diplomasi adalah penyelesaian tepat dalam isu Laut China Selatan – Wisma Putra

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Kementerian Luar Negeri hari ini menegaskan Rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan tidak akan mengetepikan kedaulatan dan hak kepentingan negara.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar menyatakan perkara tersebut semasa Sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada hari ini.

“Pada masa ini, negara-negara ASEAN dan China sedang merundingkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (Code of Conduct in the South China Sea, COC),

“COC dilihat sebagai satu kod tatacara untuk mengelakkan konflik dan ketegangan di Laut China Selatan tanpa melibatkan kuasa-kuasa luar dari lautan ini,

“Ianya juga adalah tanpa prejudis terhadap tuntutan wilayah dan maritim negara masing-masing,

“Dalam melaksanakan rundingan COC tersebut, Malaysia sentiasa memastikan bahawa COC yang akan dirundingkan tidak sekali-kali mengetepikan kedaulatan dan hak kepentingan negara,” katanya.

Beliau menambah, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri telah menyuarakan pendirian kepada pemimpin negara yang mempunyai kaitan dengan isu Laut China Selatan.

“Semua pihak perlu bekerjasama dalam usaha mengelakkan insiden yang sama ada disengajakan atau sebaliknya di perairan berkenaan,

“Kementerian berpandangan sebarang konflik yang berlaku hanya akan meningkatkan ketegangan sekaligus menggugat keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu.

Tegas Kamarudin, sebarang perbezaan dan pertikaian yang timbul perlu diselesaikan secara aman, tanpa menggunakan kekerasan atau ancaman kekerasan.

“Ia perlu dilakukan menerusi dialog, rundingan atau Iebih tepat, jalan diplomasi,” ujarnya.

Malaysia serta negara anggota ASEAN yang lain dan China telah memeterai Deklarasi Tatalaku Pihak—pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea, DOC) pada 4 November 2022. – airtimes.my

Notis peringatan: Artikel dan berita eksklusif Air Times News Network tidak dibenarkan untuk diulang terbit, ulang siar, dan dicetak. Penggunaan sebagai konten Youtube termasuk skrip turut dilarang sama sekali. Awas! Memberi kredit tidak bermakna anda terselamat dari sebarang tindakan sekiranya TIADA KEBENARAN diberikan. Sila hubungi pihak Air Times untuk maklumat lanjut. Terima kasih.

Related Articles

Leave a Reply