KUALA LUMPUR, 21 Feb – Kebajikan keluarga dan anggota menjadi keutamaan Tentera Darat Malaysia (TDM) agar kesemua warganya dapat menjalani kehidupan yang selesa dalam keadaan ekonomi semasa.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, perkara itu diberi tumpuan bagi meningkatkan moral serta semangat mereka dalam melaksanakan tugas memelihara kedaulatan negara dengan sebaiknya.
Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama erat dengan kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan bagi meningkatkan jumlah rumah keluarga.
“Tumpuan akan diberikan kepada kawasan-kawasan yang masih kekurangan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan mempunyai kos sewa rumah yang tinggi,
“7 projek perumahan baharu akan disiapkan pada tahun ini untuk manfaat 1,031 keluarga TDM,” katanya ketika majlis Pra Pelancaran Hari Tentera Ke-89 di Wisma Perwira Tentera Darat, hari ini.
Zamrose turut menjelaskan, ‘Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin’, diangkat menjadi tema Hari Tentera Darat Ke-89 pada tahun ini.
Menurutnya, tema ini dipilih kerana, aspek kesejahteraan dan kebajikan ini merupakan faktor utama kepada moral serta semangat untuk warga TDM melaksanakan tugas primer dengan lebih baik, iaitu memelihara kedaulatan dan kepentingan negara.
Sambutan Hari Tentera Darat tahun ini akan diadakan di Port Dickson pada 1 Mac 2022.
Sementara itu, Zamrose menjelaskan, sebanyak 5 lagi fokus telah ditetapkan untuk dilaksanakan oleh TDM pada tahun ini.
Jelasnya, ia melibatkan usaha untuk peningkatan kesiapsiagaan dan keupayaan aset TDM dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Perolehan aset-aset perlu berpandukan kepada pelan pembangunan jangka masa panjang ARMY 4NEXTG,
“Antara perolehan aset yang akan dilaksanakan pada tahun ini termasuklah, 5 buah kenderaan Tank Transporter 60 tan, 4 buah trak 7 tan bagi meningkatkan mobiliti darat,
“Selain itu, perolehan 20 buah OBM 60hp, 98 buah assault boat, 100 buah buah truck 1 ton GS Cargo dan 71 buah Parachute Free Fall Tactical Glider,” ujarnya.
Fokus Ketiga, Zamrose menjelaskan, pihaknya menekankan penstrukturan dan penyusunan organisasi TDM bagi meneruskan usaha memperkasakan Chain Of Command.
“Ia juga bagi mengimbangkan kekuatan aset dan sumber manusia di antara wilayah mengikut nisbah two third dan one third sepertimana yang dihasratkan di dalam Kertas Putih Pertahanan (KPK),
“TDM juga akan terus komited dalam penyediaan dokumentasi pelan strategik di peringkat ATM (Angkatan Tentera Malaysia) khususnya strategi ketenteraan negara (SKN 2.0),” tambahnya.
Manakala, fokus Keempat pula adalah dari segi pemerkasaan tadbir urus dan perbelanjaan berhemah.
Beliau menegaskan, setiap lapisan pemerintahan perlu menumpukan kepada aspek governans serta tadbir urus yang cekap, berhemah dan berintegriti di dalam menguruskan sumber yang terhad.
“Pelan-pelan yang terkandung di dalam pelan anti rasuah TDM perlu dilaksanakan sepenuhnya,
“Perbelanjaan peruntukan kewangan juga perlu dilaksanakan berpandukan strategi belanjawan yang berkesan manakala pengurusan aset kerajaan dilaksanakan berpandukan arahan, tatacara dan prosedur yang ditetapkan,
“Sasaran TDM untuk mencapai zero negative comments bagi pengurusan organisasi akan dapat dicapai,” tegasnya.
TDM turut menjadikan peningkatan terhadap diplomasi pertahanan bagi mendukung kerjasama pertahanan sama ada di peringkat Kementerian Pertahanan atau pun ATM sebagai fokus untuk dilaksanakan pada tahun ini.
“Antara aktiviti pengukuhan hubungan pertahanan yang dirancang pada tahun ini melibatkan 17 aktiviti Army To Army Talk serta 28 siri Eksesais Bilateral Dan Multilateral dengan pelbagai negara,
“Di samping itu, TDM juga telah merancang untuk membina 6 pos imbangan baharu seperti Pos Mengkalap di sempadan Sarawak-Brunie; Pos tetangga Akrab dan Rapak Baru di sempadan Sarawak-Kalimantan; Pos Kampung Kabu, Pos Tagul dan Pos Tambulanan di Sempadan Sabah-Kalimantan,” kata Zamros.
Sementara itu, TDM juga memfokuskan komitmen dalam membantu kerajaan dan rakyat di dalam menghadapi serta menangani krisis sama ada berbentuk pendemik atau pun bencana alam dengan kerjasama agensi-agensi terlibat. -airtimes.my