Home SemasaLesen pembalakan 40 hektar di Bukit Makro dibatalkan

Lesen pembalakan 40 hektar di Bukit Makro dibatalkan

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUANTAN, 15 Feb – Kerajaan negeri Pahang telah membatalkan kelulusan kawasan pembalakan berhampiran Bukit Makro, Maran dan segala aktiviti pra pembalakan di kawasan tersebut turut diberhentikan.

Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, kelulusan kawasan pembalakan seluas 40.47 hektar yang diberikan kepada Amanah Saham Pahang (Aspa) itu dibatalkan pada pada 17 Januari lalu.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian analisis pascabanjir dan mengambil kira kepentingan awam.

“Kerja pembalakan di kawasan itu masih belum dimulakan oleh pelesen. Hanya kerja awalan membersihkan jalan pengeluaran dan pembinaan matau utama atas tanah kerajaan sahaja yang telah dimulakan,

“Bagaimanapun, JPNP telah mengarahkan kerja itu dihentikan semasa musim tengkujuh dan banjir yang berlaku di Pahang baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Hizamri berkata, pihaknya telah mengarahkan semua aktiviti prapembalakan di kawasan itu dihentikan selain semua jentera terlibat dikeluarkan dari kawasan tersebut.

Tambahnya, kawasan itu tidak melibatkan hutan simpan sebagaimana didakwa sesetengah pihak, sebaliknya ia tanah kerajaan yang diluluskan kepada Aspa bagi aktiviti pembalakan.

“Semua penilaiannya terutama yang berkaitan dengan impak alam sekitar telah mendapat kelulusan jabatan-jabatan yang terlibat,” jelasnya.

Isu pembalakan di kawasan itu telah menimbulkan kebimbangan penduduk setempat terhadap risiko tanah runtuh, kepala air dan banjir lumpur sekiranya diteruskan.

Ia juga tular di laman sosial sejak menggu lepas mendesak kerajaan negeri membatalkan lesen pembalakan di hutan Bukit Makro, Maran. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply