Home Pertahanan dan Keselamatan Pelatih Tentera Darat, Kapten Muhammad Farris rangkul anugerah Piala Nuri

Pelatih Tentera Darat, Kapten Muhammad Farris rangkul anugerah Piala Nuri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM), Kapten Muhammad Farris Syaza Zamri anak kelahiran Bukit Mentajam, Pulau Pinang dianugerahkan sebagai Pelatih Penerbangan Helikopter Terbaik dalam Kursus Asas Penerbangan Helikopter (Basic Helicopter Flying Course, BHFC) Siri 62/21 (Siri Khas).

Muhammad Farris penerima anugerah Piala Nuri diatas kecemerlangannya dalam mengendalikan pesawat EC 120 B adalah antara 7 pelatih yang telah menamatkan kursus asas tersebut dan ditauliahkan Sayap Penerbangan TUDM.

Majlis Penyampaian Sayap Penerbangan ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM di Wisma Pertahanan, hari ini.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kenyataan berkata, kursus BHFC ini merupakan siri khas kerana hanya terdiri daripada perkhidmatan TDM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sahaja.

Seramai 7 pelatih dari Tentera Darat Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia telah berjaya menamatkan kursus pada 26 Januari lalu dan melayakkan mereka untuk dianugerahkan Sayap Penerbangan TUDM.

“Kursus ini merupakan fasa asas penerbangan untuk pelatih helikopter yang telah berjaya dilaksanakan di INSPEN 2, Kolej Tentera Udara, Alor Setar,

“Seramai 8 orang pelatih yang terdiri daripada 4 pegawai TDM dan 4 pegawai TLDM. Kesemua pelatih telah berjaya menamatkan Kursus Ilmu Penerbangan Asas (KIPA) di INSPEN 1 kemudian meneruskan Kursus Asas Penerbangan Helikopter di INSPEN 2 mulai 4 Januari 2021 menggunakan pesawat Eurocopter EC 120B Colibri,

“Setelah 1 tahun 2 bulan, hanya 7 pelatih BHFC siri 62/21 berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang namun seorang daripada pelatih terpaksa ditangguhkan latihan disebabkan oleh masalah kesihatan,” jelas TUDM.

Menurut TUDM, para pelatih telah berjaya menamatkan kursus pada 26 Januari lalu dan melayakkan mereka untuk dianugerahkan sayap penerbangan TUDM.

Leftenan Mohamad Hanafie Mohd Yasir TLDM dianugerahkan Pelatih Akademik Terbaik bagi Kursus Asas Penerbangan Helikopter (Basic Helicopter Flying Course, BHFC) Siri 62/21 (Siri Khas).

Selain Farris, Leftenan Mohamad Hanafie Mohd Yasir TLDM turut dianugerahkan Pelatih Akademik Terbaik bagi kursus kali ini.

Beliau dianugerahkan Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara atas pencapaian keputusan terbaik dalam bidang akademik serta atas sikap gigih serta dedikasi yang dilaksanakan.

Dalam masa yang sama, TUDM menjelaskan, kejayaan pelatih dalam menamatkan BHFC Siri khas kali ini secara tidak langsung membuktikan tahap profesionalisme barisan tenaga instruktor TUDM di dalam melahirkan juruterbang pesawat ATM dari pelbagai kor dan cawangan sama ada didalam TDM mahupun TLDM.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply