Home PolitikBarisan Nasional COVID-19: Hishammuddin antara dikompaun langgar SOP

COVID-19: Hishammuddin antara dikompaun langgar SOP

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengarahkan pegawai kementeriannya agar memgeluarkan kompaun terhadap 3 pimpinan Barisan Nasional (BN) kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam majlis pelancaran Briged MIC Johor pada Ahad.

Beliau menjelaskan, kompaun itu akan dikenakan terhadap Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.

“Saya mengarahkan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk keluarkan kompaun kepada DS Hishammuddin, DS Hasni, TS Vigneswaran, pemimpin utama yang hadir dan penganjur di bawah Akta 342,

“KKM akan terus pantau SOP sempena PRN (Pilihan Raya Negeri) Johor,” katanya menerusi akaun rasmi Twitternya malam tadi.

Sementara itu, Hishammuddin menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, beliau hanya berada di majlis itu sebagai tetamu namun bersedia menerima hukuman.

“Hadir sebagai tetamu di Pelancaran Briged MIC bagi PRN Johor, dan saya akui sememangnya terdapat kelemahan dalam pematuhan SOP terutama di majlis pelancaran,

“Bagaimanapun, salah tetap salah. Tiada sesiapa yang harus terlepas daripada penguatkuasaan undang-undang, termasuk diri saya sendiri,

“Ini merupakan pengajaran kepada semua untuk meningkatkan lagi pematuhan SOP terutama sepanjang musim #PRNJohor ini,” jelas Hishammuddin.

Sebelum ini, Khairy mengesahkan PRN Johor boleh diteruskan walaupun Malaysia kini berada dalam gelombang Omicron, dengan bilangan kes positif menunjukkan lonjakan.

Tambahnya, ia berikutan pesakit COVID-19 yang dijangkiti varian Omicron tidak menunjukkan kesan teruk berbanding varian Delta.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply