Home SemasaGlobal Jerman sekat negara sekutu hantar meriam era Perang Dingin ke Ukraine

Jerman sekat negara sekutu hantar meriam era Perang Dingin ke Ukraine

by M.Daim

BERLIN, 23 Jan – Kerajaan Jerman telah menghalang Estonia dari menghantar meriam D-30 kepada Ukraine.

Jerman dan Estonia merupakan negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Menurut Wall Street Journal, kerajaan Estonia telah meminta kebenaran Berlin untuk menghantar howitzer D-30 ke Ukraine. Permintaan dibuat atas keperluan undang-undang eksport yang digariskan oleh Jerman kerana meriam itu pernah digunakan di negara Jerman Timur semasa Perang Dingin.

Namun begitu, kebenaran tidak diberikan oleh Berlin kerana polisi negara itu untuk tidak membenarkan sebarang senjata yang dihasilkan atau berasal dari Jerman untuk dieksport ke kawasan bergolak.

“Prinsip tadbir urus eksport senjata adalah sama – sama ia datang secara terus dari Jerman atau negara ketiga – tiada kebenaran telah dikeluarkan sehingga kini,” lapor WSJ yang memetik kenyataan pegawai kerajaan Jerman.

Howitzer D-30 buatan Kesatuan Soviet telah digunakan oleh pasukan Tentera Jerman Timur selepas tamat Perang Dunia ke-2. Selepas penyatuan Jerman Barat dan Jerman Timur, meriam tersebut telah dieksport ke Finland dan kemudiannya diserahkan kepada Estonia pada tahun 2009.

Pada Jun tahun lalu, Menteri Luar Jerman, Heiko Maas menegaskan negara itu tidak akan membekalkan senjata kepada kawasan krisis, negara yang sedang berperang atau yang diancam peperangan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply