Home Politik PRN untuk tamatkan kerajaan negeri ihsan pembangkang – Menteri Besar

PRN untuk tamatkan kerajaan negeri ihsan pembangkang – Menteri Besar

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 22 Jan – Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad hari ini menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan bagi mendapatkan semula mandat daripada rakyat untuk meneruskan kemajuan negeri itu.

Menurut beliau, keadaan Kerajaan Negeri yang disifatkan bergerak atas ihsan pembangkang bukan sesuatu perkara yang patut berlaku.

“Saya beranggapan kerajaan yang ada perlu terus berusaha untuk menjadikan Johor sebagai sebuah negeri yang dinamik dan pesat pembangunannya,

“Memandangkan kedudukan kerajaan negeri yang boleh dikatakan bergerak atas ihsan pembangkang, saya fikir tidak wajar berlaku sama sekali di Johor,” katanya semasa sidang media di Bangunan Badan Perhubungan UMNO Johor.

Tegasnya, keputusan untuk mengadakan PRN telah diteliti oleh beliau dengan mengambil kira situasi semasa bencana banjir, wabak dan ekonomi negeri.

“Keputusan untuk mengadakan PRN adalah satu perkara yang telah diteliti dengan penuh berhati-hati,

“Saya perlu dapatkan semula mandat rakyat Johor untuk jadikan negeri lebih maju dan berjaya,

“Maka, PRN ini dianggap sebagai usaha mendapatkan semula mandat dari rakyat bagi membolehkan kita meneruskan perancangan serta program-program yang telah disusun dari Belanjawan 2022 dan juga potensi negeri,” ujarnya.

Terdahulu, Hasni menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bagi mempersembahkan watikah pembubaran Dewan Negeri Johor.

Baginda telah berkenan menanda tangani watikah tersebut dan sekaligus membubarkan Dewan Negeri Johor.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) dijangka akan bermesyuarat untuk menentukan perjalanan PRN dalam masa terdekat.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply