Home Semasa Azam Baki perlu dicutikan sementara – JKMR

Azam Baki perlu dicutikan sementara – JKMR

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu dicutikan sementara ketika kes beliau disiasat oleh pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Rais Yatim berkata, ia bagi membolehkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) membuat siasatan dengan lebih telus tanpa keberadaannya sebagai pengerusi badan tersebut.

“Ini amalan apabila seseorang pegawai disiasat atas apa-apa kemungkaran atau salah laku, maka pegawai itu biasanya digantung kerja,

“Lantaran itu, banyak pandangan menjurus kepada fakta bahawa ia bukan satu kriminal atau perbuatan jenayah, tetapi hanya salah laku atau tidak tidak dapat menyempurnakan tugas,

“Tetapi, terbaik juga pandangan kami, beliau mengambil cuti rehat sebentar dan biarkan jawatan kuasa itu menjalankan tugas. Namun, ada juga pihak yang lebih tinggi sebelum ini disiasat tapi tidak ada cuti. Ini saya perlu sebut sebab ada 2 pandangan di depan kita,

“Terserah kepada SPA atau nak beri cuti atau tanpanya. Tetapi, harus mengambil natijah daripada apa yang sedang berlaku” katanya ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) pada Jumaat.

Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan SPRM perlu bangkit dan mewujudkan kembali imej pencegahan dan membanteras rasuah yang ulung, tegas serta dipercayai lagi berkesan.

Tambahnya, tindakan itu perlu bermula dengan semua pegawai pimpinan dari peringkat atasan sehingga ke bawah mesti tertakluk kepada prestasi khidmat yang tanpa cacat cela.

“Tindakan tersebut merupakan cara terbaik untuk menghormati peraturan dan undang-undang ditetapkan,

“Soal adil atau tidak, atau tidak menepati standard tidak timbul jika kita menghormati peraturan dan undang-undang,

“Prinsip itu penting kepada kami. Justeru kita tidak boleh lari daripada suasana keutuhan undang-undang yang kita amalkan di bawah Rukun Negara,” tambahnya.

Hadir sama Senator Datuk Zaiedi Suhaili, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai.

Sebelum ini, Azam Baki menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan beliau memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Tegasnya, beliau tidak terlibat dalam urusan pemilikan saham, malah tuduhan yang mendakwa terdapat konflik kepentingan di pihaknya juga tidak berasas.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply