KUALA LUMPUR, 30 Dis – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil 3 saksi bagi memulakan siasatan terhadap dakwaan penjualan saham milik Telekom Malaysia Bhd (TM) dalam Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang menyiasat jika wujud unsur rasuah dalam penjualan kesemua saham terbabit.
“SPRM mengesahkan sedang menyiasat dakwaan penjualan saham mencurigakan hak milik pengurusan Menara KL,
“SPRM akan menyiasat sama ada wujudnya elemen rasuah dalam penjualan 100 peratus saham Telekom Malaysia (TM) di dalam Syarikat Menara KL Sdn Bhd (MKLSB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd (HSB) pada Oktober 2022,” katanya pada Khamis.
SPRM menjelaskan, setakat ini pihaknya telah memanggil 3 orang saksi dan mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak-pihak berkaitan untuk diteliti.
“Sehubungan itu, SPRM akan menjalankan siasatan secara terperinci dan profesional daripada semua sudut berkaitan isu ini,” jelas SPRM lagi.
Terdahulu, isu penjualan saham dalam Menara KL Sdn Bhd telah dibangkitkan di media sosial apabila orang ramai mempersoalkan keputusan TM melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu.
Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd adalah syarikat yang menguruskan Menara KL. -airtimes.my