Home Semasa Serah kepada kerajaan, Agong tentu kedudukan saya – Abu Zahar

Serah kepada kerajaan, Agong tentu kedudukan saya – Abu Zahar

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 11 Jan – Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang menegaskan beliau sedia untuk disiasat oleh mana-mana pihak berhubung kenyataannya dalam isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 5 Januari lalu.

Beliau turut menyerahkan kepada budi bicara mutlak kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukannya sebagai pengerusi LPPR.

Abu Zahar turut meluahkan kekecewaan dengan kenyataan terbuka 6 anggota lembaga itu yang menjauhkan diri daripada kandungan kenyataan media pada 5 Januari, dipercayai dilakukan atas dasar reaksi tidak popular daripada segolongan pihak.

Beliau turut mendakwa cara media melaporkan sidang medianya itu telah memberi gambaran tidak tepat dalam kalangan masyarakat.

“Kenyataan yang telah dibuat oleh 6 orang ahli LPPR, amatlah saya dikesali,

“Sukacita saya menegaskan bahawa saya bersedia untuk mana-mana pihak atau organisasi menyiasat saya pada bila-bila masa,

“Sebagaimana yang saya tegaskan daripada mula-mula lagi bahawa yang lebih penting ialah kedudukan institusi SPRM mendapat sokongan daripada rakyat yang tujuan utamanya memerangi gejala janayah rasuah dan salah guna kuasa,” katanya pada sidang media, hari ini.

Pada Selasa lalu, Abu Zahar menjelaskan, menerusi perbincangan bersama Azam Baki pada 24 November 2021, LPPR mendapati Azam tidak mempunyai sebarang kepentingan kewangan atau berfaedah dalam isu pembelian saham dikaitkan dengannya.

Tambahnya, Lembaga Pengarah LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Azam namun selepas itu 6 ahli Lembaga Pengarah LPPR pula mendakwa kenyataan Abu Zahar bersifat peribadi bukan keputusan majoriti ahli Lembaga Pengarah. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply