Home Semasa Bukan saya lantik Azam Baki – Muhyiddin

Bukan saya lantik Azam Baki – Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, proses lantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Mac 2020 adalah teratur mengikut peraturan.

Menurutnya, pemilihan Azam menerajui SPRM ketika beliau adalah Perdana Menteri bagi mengisi kekosongan selepas Latheefa Koya meletak jawatan pada Mac 2020 dan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Proses lantikan itu teratur mengikut peraturan. Mana-mana jawatan kerajaan terutama jawatan penting seperti itu tidak dibuat secara begitu mudah,

“Ia harus melalui satu proses dan ia diperakukan oleh sebuah jawatankuasa yang mana Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali) dalam kes ini mengemukakan cadangan nama, bukan saya pilih,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN), pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said pada Ahad yang mempersoalkan sama ada Muhyiddin memeriksa latar belakang Azam sebelum memberi nasihat berkenaan pelantikannya kepada Agong atau sebaliknya.

Azalina membuat kenyataan itu susulan kontroversi yang melanda Azam berhubung pemilikan saham, selepas dia mengaku adiknya Nasir Baki menggunakan akaun perdagangan miliknya untuk membeli lebih dua juta saham dan waran dua syarikat pada 2015 dan 2016.

Muhyiddin turut menjelaskan, apabila Ketua Setiausaha Negara mencadangkan nama dan diteliti dalam jawatankuasa, ia menunjukkan pelantikan Azam mematuhi dan memenuhi kriteria.

“Memang betul dan teratur, jadi jangan dikaitkan dengan proses itu dengan kes yang kita dengar sekarang ini. Is all in order (Semuanya teratur) dan diperkenankan Agong. Saya tidak fikir ada apa-apa kesalahan dari segi prosedur pelantikan,” tegasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply