Home Semasa Azam Baki lulus proses tapisan sebelum dilantik – Dr Marzuki

Azam Baki lulus proses tapisan sebelum dilantik – Dr Marzuki

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui proses tertentu dalam perkhidmatan awam, termasuk tapisan keselamatan dan keutuhan yang dibuat oleh pelbagai agensi.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dibuat di bawah peruntukan Seksyen 5 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Ketua Pesuruhjaya SPRM dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri,

“Perdana Menteri pula seperti mana dalam pelantikan mana-mana pegawai tinggi kerajaan yang lain, biasanya menerima syor daripada Ketua Setiausaha Negara atau mana-mana pihak yang diperuntukkan di bawah undang-undang,

“Syor ini diangkat kepada Perdana Menteri dalam bentuk kertas cadangan pelantikan pegawai yang mana di dalamnya terdapat laporan mengenai kelayakan pegawai dan justifikasi pelantikan,

“Terdapat proses tertentu dalam perkhidmatan awam yang menentukan kelayakan seseorang pegawai untuk dilantik ke mana-mana jawatan. Ini termasuk proses tapisan keselamatan dan keutuhan yang dibuat oleh pelbagai agensi dari masa ke semasa,” katanya dalam satu hantaran di media sosialnya, hari ini.

Menurutnya, bagi pegawai yang sedang berkhidmat pula, mereka tertakluk kepada pelbagai peraturan dan syarat termasuk pengisytiharan harta.

“Ada borang tertentu yang perlu diisi dan kaedah tertentu yang perlu dipatuhi oleh seorang pegawai yang sedang berkhidmat dalam mengisytiharkan harta masing-masing,

“Tan Sri Azam Baki adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya,

“Saya percaya sebagai pegawai tinggi kerajaan yang sedang dalam perkhidmatan, beliau tertakluk kepada semua syarat dan proses ini sebelum dan selepas pelantikan dibuat,” ujarnya.

Dr Marzuki berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dibuat Penasihat Khas Kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia), Datuk Seri Azalina Othman Said yang bertanyakan sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8  telah membuat semakan latar belakang Azam Baki sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Beliau berkata, isu tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan kerana ianya telah termaktub dalam prosedur.

“Proses pelantikan dibuat secara teratur mengikut peraturan dan kaedah yang ditetapkan,

“Sebarang isu yang timbul selepas itu hendaklah ditangani menurut peruntukan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa,” jelasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply