Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Jenazah juruterbang TUDM maut nahas Hawk diterbangkan ke Kuantan

Jenazah juruterbang TUDM maut nahas Hawk diterbangkan ke Kuantan

by Nurulhuda

KUANTAN, 17 Nov – Jenazah Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy TUDM telah diterbangkan dari Bayan Lepas, Pulau Pinang pada pukul 4.08 petang tadi.

Menurut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), jenazah diterbangkan bersama isteri, Nurul ‘Izati Shari dan ahli keluarga Allahyarham dengan menggunakan pesawat pengangkut C-130H.

Pesawat tiba di Pangkalan Udara Kuantan pada pukul 5.06 petang.

Jenazah kemudiannya dibawa ke kediaman keluarganya di Muadzam Shah, Pahang untuk penghormatan terakhir sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah, Pahang dengan istiadat pengebumian tradisi ketenteraan.

“TUDM kini sedang menguruskan urusan kebajikan keluarga bagi kedua-dua juruterbang pesawat Hawk yang terlibat dalam insiden kemalangan pada 16 November 2021,

“Urusan membawa isteri Allahyarham Affendi dari Kota Bharu, Kelantan dan keluarga Allahyarham dari Bandar Tun Razak diuruskan oleh Pangkalan Udara Gong Kedak serta Pangkalan Udara Kuantan,

“Pesawat C130H membawa waris Allahyarham dari Kuantan dan Kota Bharu ke Pulau Pinang dan kemudian, waris Allahyarham terus dibawa ke Hospital Seberang Jaya Pulau Pinang sebelum bedah siasat (post mortem) dilaksanakan,” jelas TUDM.

Turut mengiringi memberikan penghormatan ialah Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mejar Jeneral Mohd Shahada Ismail TUDM; Asisten Ketua Staf Tadbir, Brigedier Jeneral Mohd Suhaimi Sahri TUDM dan Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brigedier Jeneral Shaiful Azuar bin Ariffin TUDM.

Dalam insiden pada 16 November 21, Mejar Mohd Fareez Omar TUDM, 33 tahun mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Seberang Jaya Pulau Pinang manakala Kapten Mohamad Affendi Bustamy TUDM, 31 tahun telah terkorban di dalam kemalangan tersebut.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply