KUALA LUMPUR, 5 Nov – Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengemukakan 2 muka baharu sebagai calon yang akan bertanding di Pilihanraya Negeri Melaka pada 20 November ini.
Senarai calon diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Antara muka baharu yang pertaruhkan ialah Mohd Danish Zainudin yang akan bertanding di Pengkalan Batu yang sebelum ini disandang oleh Norhizam Baktee.
Seorang lagi calon baharu, Leng Chau Yen akan bertanding di Bandar Hilir. Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Hilir, Tey Kok Kiew akan bertanding di Bemban menggantikan Dr Wong Fort Pin.
Dalam pada itu, DAP mengekalkan 5 calonnya di kawasan masing-masing. Antaranya, Saminathan a/l Ganesan di Gadek, Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Low Chee Leong (Kota Laksamana), dan Damian Yeo Shen Li (Duyong).
DAP akan bertanding di 8 kerusi DUN Melaka dibawah tiket Pakatan Harapan (PH). Parti komponen PH yang lain, Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) akan bertanding di 11 kerusi manakala Parti Amanah Negara (Amanah) akan bertanding di 9 kawasan.
PH bertanding di kesemua 28 kerusi DUN Melaka untuk PRN yang akan berlangsung pada 20 November ini. – airtimes.my