Home SemasaGlobal Pertelingkahan sempadan India-China: Rundingan temui jalan buntu

Pertelingkahan sempadan India-China: Rundingan temui jalan buntu

by M.Daim

NEW DELHI, 11 Okt – Rundingan untuk menghentikan pertelagahan 17 bulan antara India-China di kawasan Timur Ladakh menemui jalan buntu.

Kementerian Pertahanan India dalam satu kenyataan berkata, pihak tenteranya telah menganjurkan cadangan konstruktif bagi meredakan situasi tegang di kawasan pertikaian.

“Cadangan dari pihak China adalah sukar diterima dan tidak mungkin akan dipertimbangkan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, pihak China mengeluarkan kenyataan bahawa India bersikap tidak munasabah dalam usaha untuk meredakan keadaan.

“India masih kekal dengan tuntutan yang tidak munasabah dan tidak realistik yang secara langsung menyukarkan rundingan,” kata jurucakap Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA), Kolonel Long Shaohua dalam satu kenyataan.

Menurutnya, rundingan yang diadakan bagi meredakan ketegangan yang berlaku di kawasan pertikaian antara Beijing dan New Delhi.

Semenjak 5 Mei 2020, tentera India dan China telah terlibat dalam beberapa siri pertembungan secara agresif di kawasan sempadan antara kedua-dua negara.

Pertembungan ini melibatkan pergelutan secara besar-besaran di antara anggota tentera di kedua-dua pihak.

Sehingga kini, tiada kejadian tembak-menembak berlaku di antara kedua-dua pihak kecuali tembakan amaran. Pertembungan ini tertumpu di kawasan Tasik Pangong di Ladakh dan Sikkim berhampiran sempadan Tibet. Angka korban dikedua-dua pihak dianggarkan di antara 40 ke 50 orang.

Pertikaian sempadan India-China telah membawa kepada peperangan siber di antara kedua-dua pihak.

Pihak keselamatan siber India mendakwa insiden bekalan elektrik terputus di Mumbai pada 13 Oktober 2020 berpunca dari serangan perisian hasad (malware) oleh China.

Dakwaan ini sekali lagi dibangkitkan pada awal tahun ini berikutan penemuan perisian hasad dalam sistem pengurusan bekalan elektrik India oleh syarikat keselamatan berpangkalan di Massachusetts, Recorded Future. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply