Home Semasa AUKUS: Malaysia amal sikap berkecuali, tidak berpihak mana-mana kuasa besar

AUKUS: Malaysia amal sikap berkecuali, tidak berpihak mana-mana kuasa besar

by M.Daim

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=985bZ32pSRc[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar hari ini menegaskan Malaysia mengekalkan pendirian sebagai negara berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana negara berkuasa besar dunia.

“Ini adalah selaras dengan prinsip asas Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (Non-Aligned Movement – NAM) yang Malaysia telah anggotai sejak 1970,” katanya semasa Ucapan Penggulungan Titah Diraja di Dewan Negara.

Beliau mengulas pendirian Malaysia dan impak kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom serta Amerika Syarikat (AUKUS) yang ditubuhkan pada pertengahan September lalu.

Menurut Kamarudin, Malaysia telah menyuarakan kebimbangan berhubung penubuhan AUKUS yang mungkin akan mencetuskan persaingan senjata dan provokasi kuasa-kuasa besar dunia untuk bertindak lebih agresif di rantau ini, terutamanya di Laut China Selatan.

“Kerajaan turut menegaskan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian sedia ada negara kita berhubung operasi kapal selam berkuasa nuklear dalam perairan negara kita yang selari dengan peraturan antarabangsa,” katanya.

Antara peraturan yang dinyatakan oleh beliau adalah Konvensyen Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu berkaitan Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS), Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) dan Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

“Berdasarkan pendirian ini, kerajaan telah menyeru semua pihak untuk mengukuhkan kerjasama yang lebih aktif dalam mempromosi dan mempertahankan rantau ini sebagai rantau yang aman, stabil serta makmur,

“Ini selaras dengan aspirasi ASEAN Outlook on the Indo-Pacific,” ujar beliau.

Kamarudin menambah, Utusan Khas Perdana Menteri Australia berhubung AUKUS telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Negeri, Menteri Kanan Pertahanan, pihak Kementerian Pertahanan dan Majlis Keselamatan Negara pada awal Oktober lalu.

“Pertemuan diadakan bagi memberi penerangan lanjut berkenaan pakatan tersebut,

“Platform ini telah digunakan oleh Kerajaan untuk mengulangi dan menegaskan sekali lagi pendirian Malaysia,

“Melalui pertemuan ini, Malaysia turut mendapatkan penjelasan dan maklumat berkenaan AUKUS, khususnya projek pembinaan kapal selam yang merupakan tumpuan utama dalam isu ini,” jelas Timbalan Menteri Luar.

Dalam pada itu, Kamarudin turut menyatakan Malaysia mengekalkan hubungan bilateral (dua hala) yang erat dengan Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Tindakan ini selaras dengan prinsip Kerajaan Malaysia untuk sentiasa mengekalkan hubungan dua hala yang baik dengan  semua negara tanpa mengambil kira ideologi atau sistem pentadbiran mereka,” tegasnya.

Kamarudin menambah, pihak Wisma Putra akan terus memastikan hak negara berlandaskan undang-undang domestik dan antarabangsa dihormati serta dilindungi dari sebarang campur tangan kuasa asing. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply