Home Semasa 9 PATI cuba sembunyi dalam tandas ditahan Imigresen

9 PATI cuba sembunyi dalam tandas ditahan Imigresen

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Jabatan Imigresen malaysia (JIM) Selangor menahan 9 warga asing dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa premis di sekitar kawasan Seri Kembangan dan Cheras, semalam.

JIM menerusi hantaran di media sosialnya berkata, operasi penguatkuasaan tersebut dijalankan dengan mensasarkan beberapa kediaman dan premis perniagaan yang dipercayai didiami oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan.

“Hasil dari pemeriksaan ke atas 27 orang warga asing, 9 daripadanya telah ditahan, dipercayai telah melakukan pelbagai kesalahan dibawah Akta Imigresen dan Peraturan-Peraturan Imigresen,

“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasa, Pejabat Imigresen Negeri Selangor bagi siasatan lanjut dan seterusnya akan ditahan reman selama 14 hari dibawah seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih,

“Semasa pemeriksaan, mereka dikesan melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas atau permit yang sah dan seksyen 15(1)(c) Akta yang sama iaitu tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” jelasnya.

Menurut JIM, perbagai taktik dan helah diambil oleh PATI bagi mengelak ditangkap semasa pemeriksaan seperti bersembunyi di dalam tandas dan cubaan melarikan diri dengan keluar dari biliknya melalui tingkap.

Dalam masa yang sama, JIM menjelaskan, pihaknya akan meneruskan siasatan lanjut bagi mengesan pemilik rumah sewa, premis perniagaan yang memberi pelindung kepada PATI ini, dan sekiranya terbukti akan turut dikenakan tindakan undang-undang yang sedang berkuatkuasa termasuk didakwa di mahkamah. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply