Home Pertahanan dan Keselamatan PGA tahan 342, usir 610 PATI ceroboh Sarawak sejak Januari lalu

PGA tahan 342, usir 610 PATI ceroboh Sarawak sejak Januari lalu

by Nurulhuda

KUCHING, 21 Sept – Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak telah melaksanakan sebanyak 248 serbuan melibatkan 342 tangkapan berserta 80 kenderaan yang dianggarkan bernilai RM6.17 juta sepanjang pengoperasian Operasi Benteng (Op Benteng) bagi tempoh 1 Januari sehingga 19 September lalu.

Komander Briged Sarawak PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Saini Bongkek berkata, sebanyak 610 pengusiran pendatang asing tanpa izin (PATI) juga telah direkodkan di negeri ini sepanjang tempoh tersebut.

“Jumlah tangkapan membabitkan seramai 107 warga tempatan yang terdiri daripada 102 lelaki dan 5 wanita. Manakala, seramai 235 warga asing yang terdiri daripada 196 lelaki dan 39 wanita turut ditahan,

“Selain itu, pasukan telah melaksanakan sebanyak 610 pengusiran warga asing yang terdiri daripada 507 lelaki dan 103 wanita,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, kesemua tangkapan dan pengusiran warga asing ini membabitkan warganegara Indonesia.

“Kejayaan ini turut merangkumi 67 tekong darat melibatkan 61 warga tempatan yang terdiri daripada 60 lelaki dan seorang wanita,

“Manakala, seramai 6 lagi tekong darat adalah warga asing yang kesemuanya lelaki Indonesia. Turut dirampas 55 kenderaan yang digunakan bagi tujuan penyeludupan,” tambahnya.

Saini berkata, kesemua tangkapan dan rampasan disiasat mengikut Akta Imigresen 1963, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan lain-lain akta yang berkaitan.

“PGA akan terus komited dalam usaha untuk memperkasakan serta memperketatkan kawalan keselamatan sempadan Sarawak, sekali gus memastikan ia tidak dibolosi oleh sebarang bentuk jenayah rentas sempadan,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply