Home Semasa Serangan UAV di Kabul satu kesilapan tragik – AS

Serangan UAV di Kabul satu kesilapan tragik – AS

by M.Daim

WASHINGTON, 20 Sept – Komander Pusat Pemerintahan Amerika Syarikat (U.S. Central Command) menyatakan serangan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) di Kabul pada 29 Ogos lalu merupakan satu kesilapan tragik.

Beliau menyatakan perkara tersebut dalam satu taklimat pada Jumaat lalu. Butiran taklimat turut disiarkan oleh pihak Jabatan Pertahanan AS (US DOD).

“Selepas melakukan siasatan terperinci, saya yakin seramai 10 orang awam maut termasuk 7 orang kanak-kanak,

“Pihak kami pada ketika ini sedang melakukan penilaian sama ada kenderaan yang dijadikan sasaran serangan UAV mempunyai kaitan dengan ISIS-K atau memberi ancaman kepada pasukan tentera AS,” kata Kenneth yang dipetik oleh US DOD.

Amerika Syarikat lancar serangan udara dengan menggunakan UAV terhadap sebuah kereta yang didakwa digunakan oleh kumpulan pengganas ISIS-K pada 29 Ogos lalu.

Beliau menambah, maklumat perisikan yang diterima oleh pihaknya bahawa kumpulan ISIS-K sedang merancang dan menggunakan sebuah kereta putih untuk melancarkan serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai.

Pada ketika itu, AS sedang melakukan evakuasi anggota tentera dan rakyat Afghanistan keluar dari Kabul.

Jelas Kenneth, aset pemantauan termasuk 6 buah MQ-9 Reaper diterbangkan di kawasan rumah yang terletak 6 kilometer dari lapangan terbang.

Menurutnya, kenderaan tersebut diekori sepanjang masa dari udara semasa melalui jalanan Kabul.

“Kami turut melihat penumpang membawa keluar masuk barangan dari kenderaan tersebut

“Pada lewat tengah hari, penumpang terakhir telah keluar dan kereta dipandu ke satu lokasi kira-kira 3 kilometer dari lapangan terbang,

“Kami khuatir kenderaan tersebut akan dipandu memasuki kawasan lapangan terbang dalam masa yang singkat,” katanya.

Kenneth turut menyatakan kereta tersebut telah dihampiri oleh seorang lelaki dewasa yang dipercayai individu yang bersubahat dengan ISIS-K.

“Serangan dilancarkan pada waktu tersebut kerana kenderaan tidak bergerak dan bertujuan untuk mengurangkan kadar kematian di kalangan orang awam,” jelasnya.

Kenneth menyatakan sebuah peluru berpandu Hellfire telah dilancarkan pada pukul 4.53 petang waktu Kabul.

Amal Ahmadi, 32 tahun merupakan salah seorang mangsa yang maut akibat serangan UAV oleh Amerika Syarikat. Beliau sebelum ini pernah berkerja dengan organisasi bantuan kemanusiaan Amerika Syarikat di Kabul.

“Peluru berpandu terbabit telah ditetapkan untuk meletup dalam kenderaan sebagai langkah mengurangkan kematian di kalangan orang awam,

“Serangan telah dilancarkan mengikut prosedur dan maklumat yang diterima dari lapangan,” jelasnya lagi.

Pada masa yang sama, Kenneth mengakui serangan tersebut sebagai satu kesilapan.

“Saya mengakui serangan tersebut adalah satu kesilapan dan saya memohon maaf kepada semua,

“Sebagai komander, saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan ini dan kesannya,” kata Kenneth.

Beliau turut menyampaikan permohonan maaf dan takziah kepada keluarga mangsa serangan UAV tersebut.

Kenneth turut menyatakan pihaknya sedang mempertimbangkan untuk memberi bayaran pampasan kepada pihak yang terkesan dengan serangan itu.

Pada 29 Ogos lalu, AS telah melancarkan satu serangan udara dengan menggunakan UAV di kawasan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai.

Serangan yang dilancarkan pada ketika itu didakwa mensasarkan kumpulan ISIS-K yang bertanggungjawab melancarkan serangan pengebom bunuh diri di Kabul pada 3 hari sebelumnya.

ISIS-K, kumpulan serpihan Daesh mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan yang membunuh 13 anggota tentera AS dan lebih 100 orang rakyat Afghanistan. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply