Home PolitikPakatan Harapan Kerajaan pimpinan Muhyiddin sudah tumbang – Anwar Ibrahim

Kerajaan pimpinan Muhyiddin sudah tumbang – Anwar Ibrahim

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=KmOHnuUbzoE[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi dakwaan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kini telah tumbang.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, terdapat maklumat bahawa ada Ahli Parlimen yang meminta untuk keluar dan menarik sokongan kepada kerajaan PN tersebut.

“Kerajaan Mahiaddin (Muhyiddin) sebagai Perdana Menteri telah jatuh, tumbang hari ini. Saya mendapat maklumat ada Ahli Parlimen yang minta keluar daripada PN,

“Maka dengan 107 ahli Parlimen di sini (pembangkang) ditambah Ahli Parlimen lain, kerajaan sekarang sudah ditumbangkan,” katanya ketika berucap di Dataran Merdeka hari ini.

Seramai 107 Ahli Parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka untuk berarak ke Parlimen selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) menutup Dewan Rakyat ekoran pengesanan penularan COVID-19.

Beliau berkata, perhimpunan Ahli Parlimen pembangkang pada hari ini adalah untuk menyuarakan beberapa pendirian, termasuk PN yang telah hilang keabsahan dan melanggar Perlembagaan selain penderhakaan kepada Yang di-Pertuan (YDP) Agong.

“Tapi sebab pelanggaran hukum, mereka menggunakan kuasa membelakangi rakyat, undang-undang, Parlimen dan derhaka kepada YDP Agong,

“Belum pernah berlaku dalam sejarah, pelanggaran hukum sedemikian rupa oleh Pedana Menteri dan barisan Kabinet, penghinaan kepada Institusi Diraja dan kerana itulah kami berhimpun pada hari ini,” tambahnya.

Seramai 107 Ahli Parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka untuk berarak ke Parlimen selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) menutup Dewan Rakyat ekoran pengesanan penularan COVID-19. Foto: AirTimes

Terdahulu ahli-ahli Parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka setelah mereka tidak dibenarkan memasuki Bangunan Parlimen hari ini.

Turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Presiden MUDA, Syed Saddiq Abdul Rahman dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Cubaan Anwar untuk berunding dengan pihak polis agar mereka dibenarkan berarak ke bangunan Parlimen gagal, selepas dihalang Ketua Polis Daerah Dang Wangi (OCPD).

Cubaan Anwar Ibrahim untuk berunding dengan pihak polis agar mereka dibenarkan berarak ke bangunan Parlimen, gagal selepas dihalang Ketua Polis Daerah Dang Wangi (OCPD). Foto: AirTimes

“OCPD mendapatkan arahan menurut Akta Polis untuk menahan walaupun ada keputusan Parlimen membolehkan kita (ke pejabat masing-masing di Parlimen) dan ini usul yang kita sampaikan kepada Ketua Polis Negara tetapi Speaker Dewan Rakyat tidak menyampaikan hal yang sedemikian,

“Jadi yang melakukan pengkhianatan ini termasuklah Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun,” katanya kepada media.

Anwar berkata, Kerajaan PN melarang Ahli Parlimen menjalankan tugas masing-masing dan melakukan penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Kami di sini sebagai rakyat yang taat kepada Yang di-Pertuan Agong dan mahu tunduk kepada Perlembagaan serta membela nasib rakyat.

“Rakyat sedang terkorban dan menderita kerana kegagalan kerajaan. Kerajaan hilang sokongan, gagal menjalankan tugas tetapi terus bertahan untuk pegang kuasa,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply