Home Politik Halang wakil rakyat masuk Parlimen langgar undang-undang, ancam demokrasi – Akmal Nasir

Halang wakil rakyat masuk Parlimen langgar undang-undang, ancam demokrasi – Akmal Nasir

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir hari ini menegaskan tindakan menghalang wakil rakyat memasuki parlimen adalah satu tindakan yang mengugat institusi demokrasi negara.

“Dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, Ahli Parlimen diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat untuk melakukan tugas mereka termasuk hadir ke Dewan Rakyat,

“Berdasarkan perkara yang dinyatakan, saya percaya pihak yang terlibat dalam memberikan arahan untuk menghalang Ahli Parlimen telah melanggar undang-undang,” kata Akmal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Menurut beliau, tindakan menghalang Ahli Parlimen melakukan tugas mereka adalah melanggar Seksyen 124, Seksyen 124B dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Seksyen 124 merujuk kepada menyerang Ahli Parlimen, dengan niat hendak memaksa atau menghalang apa-apa kuasa yang sah di sisi undang-undang dijalankan.

Sementara itu, 124B adalah berkenaan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen dan 124C pula adalah cubaan untuk melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

Akmal bersama Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran hadir ke IPD Dang Wangi untuk melakukan laporan polis berhubung insiden wakil rakyat pembangkang dihalang memasuki Parlimen yang berlaku pada awal pagi tadi.

“Kami berharap pihak polis akan membuka siasatan untuk melihat pihak mana yang sebenarnya memberi arahan menyekat wakil rakyat memasuki Parlimen,” katanya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply