KUALA LUMPUR, 6 Jul – Pemuda PAS memberi amaran kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang supaya tidak bersikap kurang ajar dan memutar belit maksud kerajaan Allah yang ditulis Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, semua orang Islam mengetahui, maksud ‘kerajaan Allah’ yang ditulis oleh Abdul Hadi adalah kekuasaan Allah.
“Tulisan itu bukan merujuk kepada mana-mana kerajaan di dunia, bahkan Malaysia, baik kerajaan Perikatan Nasional (PN) apatah lagi kerajaan gagal Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Kit Siang bukan sahaja salah dan memutar belitkan maksud perkataan tersebut, malah bertindak menghina ‘kerajaan Allah’ sebagai kerajaan gagal dalam melawan pandemik.
“Sudahlah memutar belit, menghina pula,” jelasnya.
Jesteru itu, Pemuda PAS menuntut Kit Siang membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam dalam tempoh 24 jam.
“Sekiranya gagal, satu laporan polis akan dibuat besar-besaran atas provokasi dan penghinaan kepada umat Islam,
“Bukanlah sesuatu yang pelik bagi pemimpin parti seangkatan dengan Kit Siang menghina Islam dan Allah,
“Sekiranya kebiadaban ini dibiar berterusan, keamanan dan keharmonian negara akan terus tergugat akibat mulut lancang dan penghinaan golongan ini,” tegasnya.
Pada masa sama, Pemuda PAS menggesa tindakan berat dikenakan ke atas mereka yang cuba menggugat keharmonian negara.
Semalam, Kit Siang memuat naik satu hantaran di media sosialnya mengenai ‘kerajaan Allah’ yang disifatkan menghina Islam.
Dalam media sosialnya, Kit Siang menulis; ‘If Allah government is the best form of government in Covid-19 pandemic, why Malaysia is the last in the economist’s global normalcy index losing out to countries none of which can claim to be “Allah’s government”.
Walau bagaimanapun, semakan ke atas facebook Kit Siang didapati hantaran tersebut telah dipadam. – airtimes.my