Home Ekonomi 4 bilion unit saham Serba Dinamik didagangkan pada minggu ini

4 bilion unit saham Serba Dinamik didagangkan pada minggu ini

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Sebanyak lebih 4 bilion unit saham Serba Dinamik didagangkan dalam tempoh 5 hari pada minggu lalu.

Serba Dinamik merupakan antara yang tersenarai sebagai kaunter aktif dalam tempoh yang sama.

Statistik yang dikeluarkan oleh Yahoo Finance menunjukkan saham Serba Dinamik paling banyak didagangkan pada 1 Julai lalu iaitu sebanyak 1,744,645,300 unit.

Dari segi pergerakan harga, Serba Dinamik dibuka pada harga 40.5 sen pada hari Isnin dan meneruskan trend menurun sehingga 29 Jun dimana ianya ditutup pada harga 32 sen.

Walaupun mengalami penurunan yang ketara, saham Serba Dinamik dilihat bangkit semula dari paras 32 sen kepada 38.5 sen pada Jumaat lalu.

Peningkatan saham Serba Dinamik dipengaruhi pelbagai faktor termasuk perkembangan semasa syarikat tersebut.

Semalam, Serba Dinamik telah melantik Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY) sebagai firma penilai bebas sebagaimana yang dikehendaki oleh pihak Bursa Malaysia.

Difahamkan, proses penilaian bebas terhadap audit oleh KPMG akan bermula dalam masa terdekat.

Selain daripada itu, Serba Dinamik bakal menampilkan barisan pengarah bebas yang terdiri daripada individu yang berkaliber. Namun begitu, identiti calon masih belum didedahkan oleh sumber atas sebab-sebab tertentu.

Dua perkembangan ini sudah tentu akan memberikan kesan positif kepada Serba Dinamik yang sebelum ini mengalami kejatuhan harga saham yang teruk akibat isu audit oleh KPMG.

Malah, keadaan menjadi lebih buruk apabila Serba Dinamik mengambil tindakan undang-undang terhadap KPMG yang didakwa cuai dalam melakukan audit. Malah, Serba Dinamik mendedahkan KPMG enggan melakukan verifikasi terhadap penjelasan oleh pihak syarikat terhadap beberapa dapatan audit.

Walaupun perjalanan masih jauh buat Serba Dinamik, pelantikan EY dilihat sebagai permulaan untuk menutup episod duka para pelabur syarikat tempatan yang bertaraf global itu.

Mungkin kesan dua perkembangan tersebut belum dapat dilihat sepenuhnya pada minggu ini, berkemungkinan ianya memberikan impak tersendiri sebaik sahaja pasaran dibuka pada Isnin ini.

Selain daripada itu, pelantikan pengarah bebas baharu dan EY sebagai penilai bebas akan memberikan sentimen positif di kalangan pelabur.

Pada masa yang sama, Serba Dinamik dilihat serius dalam melaksanakan langkah mereka untuk memperbaiki keadaan. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply