Home Ekonomi Saham Serba Dinamik kekal cergas 3 hari berturut-turut

Saham Serba Dinamik kekal cergas 3 hari berturut-turut

by M.Daim

Saham Serba Dinamik Holdings Berhad (SERBADK) hari ini disenaraikan sebagai salah satu kaunter aktif dalam Bursa Saham Kuala Lumpur.

Secara hakikatnya, hari ini merupakan genap sebulan saham syarikat tersebut mula mengalami kejatuhan. Namun begitu, Serba Dinamik dilihat begitu teguh (resilient) dalam menghadapi episod penurunan harga saham yang mendadak.

Pada hari ini, harga saham Serba Dinamik ditutup pada paras 33 sen, kenaikan 1 sen daripada harga semalam.

Untuk rekod, saham Serba Dinamik dibuka pada 31.5 sen pada 30 Jun.

Selain daripada itu, hari ini merupakan hari ketiga berturut-turut saham Serba Dinamik cuba memecah paras harga 30 sen namun gagal berbuat demikian.

Pada 28 Jun lalu, sentimen Serba Dinamik disifatkan sebagai neutral dalam satu tajuk utama Public Invest Research. Laporan tersebut turut meletak paras 44 sen sebagai paras TP (take profit) untuk saham ini.

Sementara itu, kejatuhan secara mendadak saham Serba Dinamik secara berterusan telah meletakkan ia dalam kedudukan terlebih jual (oversold) jika dinilai dari sudut teknikal.

‘Rebound’ atau kenaikan semula mungkin berlaku namun ianya bergantung kepada dua perkembangan utama Serba Dinamik iaitu melantik penilai bebas dan mencari pengganti 5 pengarah bebas yang meletak jawatan pada Jumaat lalu.

Sehingga kini, kita telah mengetahui Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY) telah bersetuju untuk menerima lantikan Serba Dinamik. Akan tetapi, faktor ini turut dipengaruhi oleh faktor sama ada KPMG berkerjasama atau pun tidak untuk memberikan segala maklumat kepada pihak EY.

Ini kerana EY telah meletakkan syarat kepada Serba Dinamik untuk memberikan akses sepenuhnya kepada segala maklumat audit yang dipegang oleh KPMG.

Serba Dinamik telah menarik perhatian umum berikutan kejatuhan saham secara mendadak semenjak akhir Mei lalu berikutan pendedahan audit oleh KPMG. Pelbagai isu yang dibangkitkan oleh KPMG telah dirungkaikan oleh Serba Dinamik.

Serba Dinamik dalam satu kenyataan pada 22 Jun lalu menegaskan KPMG telah cuai dalam melakukan proses audit mereka. Lantaran daripada itu, KPMG berdepan dengan tindakan undang-undang.

Selain daripada itu, Serba Dinamik turut mendedahkan KPMG enggan melakukan verifikasi atau menilai jawapan yang diberikan oleh pihak syarikat untuk setiap isu yang dibangkitkan oleh auditor. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply