Home Ekonomi EY terima pelantikan penilai bebas Serba Dinamik

EY terima pelantikan penilai bebas Serba Dinamik

by Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Jun  — Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY) telah menerima pelantikan sebagai penilai bebas  Serba Dinamik  Holdings bagi menyemak kesahihan dan ketepatan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh bekas juruaudit luar syarikat itu, KPMG PLT.

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia hari ini, Serba Dinamik yang juga penyedia perkhidmatan minyak dan gas, berkata ia telah bersetuju dengan syarat ditetapkan EY bagi memastikan sesi libat urus terbabit dijalankan secara bebas serta objektif demi manfaat semua pihak berkepentingan.

Menurutnya, antara syarat itu adalah supaya EY mendapat akses penuh, termasuk dengan KPMG PLT dari segi maklumat dan pengesahan yang bertujuan menganalisis transaksi atau urus niaga serta kebimbangan membabitkan isu-isu berbangkit.

Malah, sesi libat urus terbabit perlu dilaksanakan di bawah pembabitan serta seliaan rapat oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia.

Serba Dinamik  berkata, EY meminta supaya sesi libat urus terbabit turut dilaporkan kepada ahli bebas Lembaga Pengarah syarikat  serta tiada perubahan skop penglibatannya sebagaimana dipersetujui dengan pengarah-pengarah bebas dan Bursa Malaysia sebelum ini.

“Bagaimanapun, susulan perkembangan membabitkan penarikan diri KPMG sebagai juruaudit luar syarikat itu, EY memerlukan jaminan bahawa syarat yang disenaraikan itu masih kekal sebelum bertindak melaksanakan surat penglibatan dan melakukan penilaian itu,” katanya.

Menurutnya, ini termasuk pengesahan bertulis KPMG untuk memberi kerjasama dari segi memberi akses dan maklumat kepada EY bagi tujuan memahami dakwaan yang dibangkitkan dan dikenal pasti seperti proses pengesahan kepada pelanggan terbabit.

Syarat lain adalah kertas kerja relevan seperti pengesahan dan urusan komunikasi berkaitan penemuan serta kebimbangan telah dibangkitkan itu, katanya.

“Berikutan itu, sejurus mesyuarat lembaga pengarah pada 25 Jun lepas, peguam syarikat iaitu Shafee & Co telah menulis kepada Lee Hishammuddin Allen & Gledhill yang juga peguam KPMG bagi mengesahkan syarat yang dikemukakan oleh EY,” katanya.

Menurutnya, salinan surat tersebut juga telah diserahkan kepada Bursa Malaysia.

“Syarikat masih lagi menunggu maklum balas pihak KPMG PLT menerusi peguamnya,” katanya. -BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply