JOHOR BAHRU, 20 Jun – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berharap agar rakyat Johor tidak ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin demi kesihatan serta membendung penularan wabak COVID-19.
Sultan Ibrahim bertitah, baginda bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah serta Keluarga Diraja Johor telah menerima suntikan vaksin berkenaan baru-baru ini.
“Saya dan keluarga sudah menerima vaksin dan amat berharap rakyat Johor juga tidak ragu-ragu untuk mendapatkan vaksin demi menjaga serta melindungi diri serta keluarga masing-masing,
“Saya dan Permaisuri Johor dalam keadaan yang sihat selepas menerima suntikan vaksin, Alhamdulillah kami juga tiada kesan sampingan,” titah baginda dalam satu kenyataan menerusi laman media sosial rasminya, semalam.
Titah baginda, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dari Kementerian Kesihatan, pengambilan suntikan vaksin amat penting untuk mengurangkan kadar jangkitan COVID-19 dan mencapai imuniti kelompok.
“Di samping melindungi diri, kita juga perlu memikirkan pasukan barisan hadapan, doktor, jururawat dan pasukan perubatan yang sedang bertungkus-lumus merawat pesakit-pesakit COVID-19,
“Lebih ramai yang menerima vaksin, semakin kita hampir kepada imuniti kelompok dan mengurangkan kesan buruk penyakit ini kepada kehidupan seharian kita,
“Justeru, daftarlah untuk vaksin dan pastikan anda serta ahli keluarga selalu menyemak serta menepati temujanji MySejahtera,” titah baginda. – airtimes.my