Home Politik Politik tanpa batas tidak akan ke mana – Hishamuddin

Politik tanpa batas tidak akan ke mana – Hishamuddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammudin Hussein berkata, beliau sedar ada segelintir pihak yang memilih untuk menyerangnya secara peribadi dengan pelbagai tuduhan dan fitnah.

Beliau berkata, penyebaran berita palsu telah menjadi amalan politik di Malaysia ketika ini.

“Bagi saya, baling batu sembunyi tangan semata-mata untuk mewujudkan persepsi yang tidak baik hanyalah langkah murahan demi kepentingan sendiri,

“Fitnah hanyalah bertujuan mengganggu serta mengalih perhatian dari perbincangan tentang bagaimana untuk memacu negara ini ke arah yang lebih baik,” katanya menerusi catatan di blog, hari ini.

Hishmuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata tindakan ini sangat mengecewakan beliau terutama ketika negara sedang melalui detik getir.

“Tetapi kenapa kita terus mempolitikkan semua isu? Politik tanpa batas tidak akan membawa kita ke mana-mana,” ujarnya.
Katanya, kita mesti mengamalkan pembaharuan dalam berpolitik dan bukannya masih dengan amalan politik tanpa batas.

“Ini adalah masa terbaik untuk kita ahli politik daripada kedua-dua belah pihak buktikan, yang kita boleh berperanan dengan lebih baik serta tunjukkan kepada rakyat kita di sini untuk berkhidmat,

“Jadi dengan kita sedang mempertimbangkan untuk membuka semula Parlimen, kita mesti bersedia,

“Masyarakat umum perlu faham ia tidak semudah membuka dewan dan duduk. Memandangkan kita sedang meneliti kemungkinan sesi ‘hibrid’,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan perlu diberi ruang untuk membuat pertimbangan serta merancang kaedah dan proses demi memastikan setiap prosiding berjalan lancar.

“Sebagai Anggota Parlimen, sama ada menjadi lebih baik atau lebih teruk, ia bergantung kepada kita untuk bersama-sama bertanggungjawab terhadap apa yang bakal terjadi di sesi berikutnya,

“Kita harus menunjukkan kepada rakyat bahawa kita berada di sini demi kepentingan mereka dan bukannya cita-cita peribadi,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan jika niat pembangkang hanya ingin menggunakan Parlimen bagi mendapatkan kuasa dan bukan memanfaatkan fungsinya sebagai wacana yang membina bagi pelbagai pihak, ia akan membawa masalah.

“Saya tidak nafikan pembangkang berhak mengkritik, tetapi kecelaruan politik tidak akan diterima oleh rakyat terutamanya di saat-saat yang sukar ini,” jelasnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply