Home Semasa PDRM tumpaskan 2 sindiket penyeludupan dan makmal proses dadah bernilai RM17.75 juta

PDRM tumpaskan 2 sindiket penyeludupan dan makmal proses dadah bernilai RM17.75 juta

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 27 Apr – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan 2 sindiket penyeludupan dan memproses dadah yang dianggarkan bernilai RM17.75 juta dalam 2 operasi berasingan sejak 20 hingga 21 Apr 21 lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman telah melancarkan tujuh serbuan di sekitar Lembah Klang.

“Seramai sembilan individu yang berumur lingkungan 24 hingga 46 tahun telah ditahan serta berjaya merampas 134 kg slab heroin base dan 104 kg dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan laman media sosial rasmi Polis Selangor, semalam.

Sementara itu, melalui serbuan berasingan hasil kerjasama Polis Selangor, JSJN Bukit Aman berjaya membongkar dan melumpuhkan sebuah makmal haram memproses dadah jenis ketamin pada 20 Apr 21 di Rawang, Selangor.

“Lapan ahli sindiket berumur lingkungan 26 hingga 47 tahun ditahan dan sebanyak 22.015 kg dadah bersama 37.15 kg cecair jenis ketamin dirampas,

“Polis turut merampas pelbagai peralatan dan bahan-bahan kimia yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah,

“Siasatan awal mendapati sindiket penyeludupan dadah ini dipercayai aktif di sekitar Lembah Klang sejak bulan Februari 2021,” ujarnya.

Kesemua mereka telah direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bersama ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 menerusi kedua-dua operasi.

“Sebanyak RM1,007,453.68 juta nilai keseluruhan aset sindiket telah disita,” tambahnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply