LUMUT, 27 Apr – Kapal penyelamat milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), MV MEGA BAKTI bersedia menggunakan semua keupayaan yang ada untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal selam Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL), KRI NANGGALA-402 di lokasi pencarian di perairan utara Bali.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, Tim Carilamat TLDM telah berusaha mengoperasikan Intervention Remotely Operated Vehicles (IROV) untuk mendapatkan bukti tambahan dalam operasi tersebut.
“MV Mega Bakti melaksanakan rondaan di sekitar kawasan posisi KRI Nanggala yang tenggelam bagi membantu usaha mencari bahan-bahan bukti tambahan yang terapung di permukaan,
“Penugasan MV Mega Bakti seterusnya adalah bergantung kepada pihak TNI-AL,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perbarisan Hari TLDM ke-87, di KD PELANDOK, Pangkalan TLDM, hari ini.
Mohd Reza berkata, MV Mega Bakti telah tiba di lokasi pencarian pada 25 April 21 jam 12.00 tengahari.
“Kedudukan akhir KRI Nanggala telah disahkan oleh Panglima TNI-AL pada 25 April 2021 jam 6.25 petang dan memaklumkan bahawa KRI Nanggala telah tenggelam ke dasar lautan serta mengorbankan kesemua kru kapal (53 orang),
“Kapal penyelamat kapal selam TLDM iaitu MV Mega Bakti telah ditugaskan bersama-sama MV Swift Rescue dari Republik Singapura serta kapal hidrografi TNI-AL KRI Rigel untuk melakukan operasi mencari dan mengumpul bahan-bahan bukti dari kapal KRI Nanggala di posisi yang telah disahkan,”tambahnya.
Sebelum ini, MV Mega Bakti telah berlayar dari Jeti Operasi Markas Pemerintahan Kapal Selam, Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah pada jam 7.00 pagi 22 April 2021.
Misi SAR tersebut diketuai oleh Komander Mohd Hairul Fahmy Yob TLDM selaku Coordinator Rescue Force (CRF) melibatkan 54 kru terdiri dari 7 pegawai dan anggota TLDM, 3 pegawai dan staf perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta 44 kru MV Mega Bakti. – airtimes.my