ALOR SETAR, 27 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya patahkan cubaan menyeludup keluar 500 kilogram (kg) daun ketum ke Thailand pada jam 2.55 pagi di perairan muara Kuala Kedah, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot ronda APMM yang sedang melakukan rondaan Op Aman telah mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang bergerak menuju keluar dari muara Kuala Kedah dalam keadaan mencurigakan.
“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak nekad terjun ke laut dengan berenang melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran dan meloloskan diri,
“Pemeriksaan lanjut ke atas bot mendapati terdapat beberapa bungkusan plastik berwarna hitam dan satu ruang simpanan ikan yang berisi bungkusan kecil yang disyaki daun ketum dengan berat lebih kurang 500 kilogram dan anggaran nilai RM90 ribu,” katanya menerusi kenyataan menerusi laman sosial APMM, hari ini.
Beliau berkata, harga pasaran semasa daun ketum tersebut yang dibawa masuk ke Thailand boleh mencecah sehingga RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM40 sahaja.
“Semua hasil rampasan beserta bot fiber dan enjin dianggarkan bernilai RM140 ribu, dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.
“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata sepanjang bulan April, 3 kes rampasan daun ketum telah berjaya ditumpaskan dengan nilai anggaran RM380 ribu. – airtimes.my