Home Politik Ordinan Darurat tidak membolehkan Muhyiddin kekal berkuasa selama-lamanya

Ordinan Darurat tidak membolehkan Muhyiddin kekal berkuasa selama-lamanya

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 1 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan ordinan darurat yang dimasyhurkan bukan bertujuan untuk mengekalkan kuasa Perdana Menteri selama-lamanya.

Menurut beliau, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memasyhurkan tiga ordinan darurat bagi menangani penularan Wabak COVID-19.

Antara yang dimasyhurkan sejak 11 Januari lalu ialah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

“Proklamasi Darurat yang diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah semata-mata untuk mengatasi masalah COVID-19,

“Kesemua ordinan ini adalah bertujuan untuk membolehkan kerajaan menangani pandemik COVID-19 dengan lebih cekap dan berkesan,” kata Muhyiddin semasa menyampaikan Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Putrajaya, hari ini.

Beliau menambah, proklamasi darurat telah mempercepatkan proses pemasyhuran ordinan dalam tempoh singkat tanpa melalui proses di Parlimen yang memakan tempoh masa yang lama.

Menurut Muhyiddin, darurat yang dimasyhurkan merupakan yang pertama dalam sejarah negara mempunyai tempoh tamat.

Jelasnya, darurat boleh ditamatkan lebih awal sekiranya Jawatankuasa Khas Bebas berpuas hati  bahawa keadaan semasa COVID-19 dalam negara adalah terkawal.

“Saya sedar dan faham maksud demokrasi. Justeru, tidak ada satu pun daripada ordinan ini yang bertujuan untuk membolehkan Perdana Menteri kekal berkuasa selama-lamanya,

“Selain itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah melantik sebuah Jawatankuasa Khas Bebas yang turut dianggotai oleh Ahli-Ahli Parlimen pembangkang untuk meneliti keadaan darurat di negara ini,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, Muhyiddin menegaskan beliau menghormati Perlembagaan Persekutuan dan prinsip demokrasi.

Tambahnya, beliau bersedia untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan pilihanraya sekiranya COVID-19 dapat diatasi.

“Apabila masalah COVID-19 telah dapat diatasi, saya akan menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen supaya pilihanraya boleh diadakan dan rakyat bebas memilih kerajaan mana yang layak untuk memerintah,” katanya.

Namun begitu, beliau menjelaskan fokus utama kerajaan pada ketika ini adalah untuk menangani wabak pandemik.

“Buat masa ini, berilah ruang kepada kerajaan untuk tumpukan sepenuh perhatian kepada usaha mengawal penularan wabak ini,” kata Muhyiddin. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply