PUTRAJAYA, 8 Feb – Upacara makan besar pada malam Tahun Baharu Cina dibenarkan dengan penglibatan tidak melebihi 15 orang ahli keluarga terdekat sahaja dalam lingkungan zon 10 km radius tanpa merentas daerah atau negeri.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dalam kenyataan berkata, Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Ahad yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju untuk meluluskan prosedur operasi standard (SOP) Sambutan Tahun Baru Cina yang telah ditambah baik.
Mesyuarat juga bersetuju aktiviti keagamaan di rumah-rumah ibadat hanya dibenarkan pada 11, 12 dan 19 Februari tertakluk kepada SOP ketat di mana bilangan kehadiran penganut di rumah ibadat tidak melebihi 30 orang dalam satu-satu masa dengan mengekalkan penjarakkan fizikal dan memakai pelitup muka.
Manakala waktu sembahyang hanya dibenarkan 30 minit dengan diselangi kerja-kerja sanitasi selama 30 minit sebelum waktu sembahyang seterusnya, waktu sembahyang adalah bermula dari jam 6 hingga 2 petang, aktiviti sembahyang pada 19 Feb 2021 dibenarkan di halaman rumah masing-masing pada waktu malam mengikut tradisi perayaan Tahun Baru Cina bagi Hokkien Clan.
“Pegawai Perpaduan yang dilantik sebagai Pegawai Pemantau di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] akan melakukan pemantauan pematuhan SOP yang telah ditetapkan,” kata Halimah.
Beliau turut menyeru masyarakat kaum Cina di Malaysia untuk menyambut perayaan tahun ini dalam norma baharu, sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan, menjaga kebersihan diri dan pastikan penjarakan fizikal dalam usaha kita memutuskan rantaian COVID-19 di Malaysia. – airtimes.my