Home Semasa COVID-19 : PKPD Apartment Amber Court, Pusat Pemulihan Akhlak Muar hingga 20 Jan

COVID-19 : PKPD Apartment Amber Court, Pusat Pemulihan Akhlak Muar hingga 20 Jan

by Jassmadi Jakariya

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 2 lokaliti di Pahang dan Johor susulan peningkatan kes positif wabak pandemik COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan PKPD berkenaan masing-masing di Apartment Amber Court di Jalan Genting, Bentong, Pahang dan Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar, Johor.

Menurutnya, PKPD di kawasan tersebut yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan bermula 7 sehingga 20 Januari ini.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 1,180 ujian saringan di Apartment Amber Court di jalan Genting, Bentong dan daripada jumlah itu sebanyak 454 kes positif COVID-19 telah direkodkan,

“Selain itu,KKM mengesahkan ujian saringan kedua masih perlu dijalankan kepada sebahagian kontak rapat dan terdapat risiko yang tinggi jangkitan COVID-19 di lokaliti ini,” katanya dalam sidang media harian berkaitan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Sementara itu, KKM juga melaksanakan 827 ujian saringan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar dan sebanyak 40 kes positif COVID-19 telah direkodkan

“KKM turut mengesahkan masih terdapat pertambahan kes positif harian yang direkodkan dan sebanyak 38 baki sampel saringan yang masih menunggu keputusan,” ujarnya.

Keputusan pelanjutan PKPD ini dilaksanakan atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply