Home Semasa Kluang, Kota Tinggi dan Johor Bahru dilanda banjir

Kluang, Kota Tinggi dan Johor Bahru dilanda banjir

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 2 Jan – Hujan lebat yang berterusan sejak semalam telah meningkatkan kapasiti air di 3 daerah iaitu Johor Baharu, Kluang dan Kota Tinggi sehingga daerah tersebut dilanda banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R. Vidyananthan berkata, setakat jam 12 tengah hari tadi, seramai 348 mangsa banjir dari 87 buah keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setelah kediaman mereka dinaiki air.

“Dua PPS yang dibuka di Johor ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10, Skudai dan Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, Masai yang dibuka sejak semalam,

“PPS di Kluang pula melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Ping Ming, manakala 2 PPS di Kota Tinggi dibuka di SK Teluk Ramunia dan Dewan Delima, Kampung Sungai Telor,

“Ketiga-tiga penempatan ini dibuka sejak pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seramai 185 mangsa banjir dari Kampung Sentosa Barat dan Kampung Sentosa Damai telah ditempatkan di Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru dan seramai 90 mangsa lagi dari Kampung Laut Batu 10 dipindahkan ke SK Batu 10.

“Selain itu, 30 penduduk Kampung Bukit Raja, Penggerang yang terjejas bencana banjir dipindahkan ke SK Telok Ramunia dan 20 penduduk Kampung Sungai Telor ditempatkan ke Dewan Sri Delima,

“Manakala, mangsa daripada Kampung Yap Tau Sah ditempatkan di SJKC Ping Ming,” tambahnya.

Vidyananthan menjelaskan, kesemua mereka dipindahkan selepas paras air naik mendadak di kawasan berkenaan selepas hujan lebat melebihi 8 jam serta pertembungan air laut pasang hingga menyebabkan banjir kilat.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan bekalan makanan secukupnya di semua PPS.

“Antara agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana alam itu termasuk pemindahan mangsa banjir adalah Jabatan Bomba dan Penyalamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), JKM dan pejabat daerah negeri.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyatakan, hujan berterusan ini dijangka berlaku di Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bharu.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir untuk Tangkak dan Muar. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply