Home Semasa COVID-19: 1,103 kes baharu, Lembah Klang catat positif tertinggi

COVID-19: 1,103 kes baharu, Lembah Klang catat positif tertinggi

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 1,103 kes baharu hari ini, dengan 544 kes positif dicatatkan di Lembah Klang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 484 kes adalah daripada kluster sebelum ini.

“Kluster Tapak Bina Damanlela di Kuala Lumpur mencatatkan kes tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 385 kes,

“Sabah pula mencatatkan sebanyak 288 kes daripada keseluruhan kes positif pada hari ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya penurunan kes di Sabah menunjukkan keberkesanan tindakan kawalan dan pencegahan penyakit yang telah dijalankan secara agresif sejak berlaku peningkatan kes di sana.

“Perak pula mencatatkan 116 kes daripada keseluruhan kes positif pada hari ini iaitu peningkatan sebanyak 5.5 kali ganda daripada 21 kes positif semalam,

“Kebanyakan kes positif di Perak adalah daripada Kluster Tembok iaitu sebanyak 111 kes,” ujarnya.

Tambahnya, sebanyak 139 kes yang dilaporkan pada hari ini adalah berkaitan kluster-kluster di penjara.

“Ini melibatkan Kluster Tembok (111 kes), Kluster Matambai (15 kes), Kluster Penjara Sandakan (4 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (4 kes), Kluster Penjara Kepayan (2 kes), Kluster Rumah Merah (2 kes), dan Kluster Benteng LD (1 kes),

“Ingin dimaklumkan daripada 1,103 kes baharu pada hari ini, negeri Selangor melaporkan satu (1) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara. Kes tersebut melibatkan seorang warganegara yang tiba dari negara Arab Saudi,” katanya.

Katanya, jumlah kes keseluruhan positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 48,520 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 12,601 kes.

“Sehingga kini, terdapat 102 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 39 kes memerlukan bantuan pernafasan,

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan 4 kes kematian dan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 313 kes,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply