Home Semasa Asrama Top Glove dikenakan PKPD mulai esok

Asrama Top Glove dikenakan PKPD mulai esok

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Kerajaan hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Asrama Pekerja Top Glove, Klang, Selangor mulai 17 November hingga 30 November 2020.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD tersebut dilaksanakan ekoran peningkatan kes positif wabak COVID-19 di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, sehingga 15 November 2020, jumlah kes positif COVID-19 yang direkodkan di kawasan ini adalah sebanyak 215 kes.

“Pelaksanaan PKPD ini membabitkan kawasan Asrama Pekerja Lelaki, Asrama Pekerja Wanita, Jalan Abadi 1A/ KU8, Jalan Abadi 1A dan Jalan Abadi 10A/KU8,

“Ia akan melibatkan seramai 13,190 orang pekerja dan hampir 1,200 penduduk, “ kata Ismail Sabri dalam sidang media harian mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD ini bagi membolehkan KKM terus melaksanakan saringan bersasar kepada pekerja dan penduduk terlibat di kawasan tersebut.

“Pihak Top Glove juga perlu membuat saringan sepenuhnya kepada semua pekerja di kilang dan juga di asrama-asrama yang membekalkan tenaga kerja kepada kilang tersebut,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply