Home Pertahanan dan Keselamatan Pembelian aset baharu, perkukuh kawalan keselamatan di sempadan negara

Pembelian aset baharu, perkukuh kawalan keselamatan di sempadan negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Operasi Benteng (Op Benteng) akan terus memperkukuhkan dan mempertingkatkan kawalan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan perairan serta daratan negara.

Beliau berkata, dengan pengusiran 40 bot nelayan Indonesia di Perak beberapa hari lalu, ia menunjukkan bahawa segala usaha yang dijalankan oleh kerajaan telah membuahkan kejayaan.

“Begitu juga keselamatan di pantai timur Sabah dan Sarawak,

“Kita kurangkan dari segi penangkapan tetapi pengusiran tetap dilakukan untuk mengurangkan bebanan dan bahaya jangkitan (wabak COVID-19) yang mungkin di bawa oleh mereka,

“Sekarang ini kita usir mereka. Sebelum masuk ke kawasan negara, kita terus usir mereka,” katanya dalam sidang media harian, hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan, kawalan keselamatan akan diperkukuhkan lagi dengan aset-aset baharu yang bakal dibeli oleh kerajaan untuk pasukan keselamatan terutamanya Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Baru-baru ini, dalam pembentangan Belanjawan 2021 yang diumumkan, pembelian peralatan dan aset ketenteraan sendiri, begitu juga dengan bajet untuk Op Benteng. Jadi kawalan akan lebih ketat,

“Kerajaan juga akan menambah pembelian dron, bot pemintas yang akan dibeli oleh ATM, semua ini akan memperkukuhkan kawalan di kawasan sempadan negara,” tambahnya.

Menurut beliau, sebanyak 199 buah bot nelayan Indonesia telah diusir keluar dari perairan negara sejak 18 Mac lalu.

“Maknanya tindakan kita berjaya. Dengan penambahan aset yang baharu ini, kita yakin pasukan keselamatan kita mampu untuk mengawal kemasukan warga asing tanpa izin (PATI) dari memasuki negara kita,” ujarnya.

Pada Sabtu lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak telah mengusir 40 bot nelayan Indonesia pada kedudukan sekitar 28.5 hingga 30 batu nautika barat laut Pulau Jarak.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kehadiran bot nelayan Indonesia itu telah di kesan oleh Kapal Maritim (KM) Rawa ketika membuat rondaan Op Benteng di perairan Perak.

“Hasil pemeriksaan, kesemua bot tersebut adalah bot nelayan tradisional Indonesia bersama 4 awak-awak termasuk tekong setiap bot sedang melakukan aktiviti menangkap ikan,

“KM Rawa telah memberi amaran keras kepada semua bot untuk menghentikan aktiviti tersebut dengan kadar segara,

“Kesemua bot telah diiring KM Rawa bagi tujuan keluar dari perairan negara dan memastikan mereka tidak berpatah balik masuk ke sempadan negara,”jelasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply