Home Pertahanan dan Keselamatan Tamat misi di Lubnan, kumpulan terakhir MALBATT 850-7 selamat tiba di tanah air

Tamat misi di Lubnan, kumpulan terakhir MALBATT 850-7 selamat tiba di tanah air

by Nurulhuda

Subang, 16 Nov – Seramai 203 pegawai dan anggota kumpulan terakhir Batalion Malaysia 850-7 (MALBATT 850-7) selamat tiba di tanah air pada jam 5 petang hari ini selepas menamatkan penugasan bersama Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL).

Markas Angkatan Bersama (MK AB) dalam kenyataan berkata, kumpulan terakhir ini terdiri daripada 46 pegawai, 150 lain-lain pangkat (LLP) dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), seorang pegawai dan 5 anggota LLP dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang Pegawai Awam Kewangan Kementerian Pertahanan.

Kesemua mereka telah diaturgerakkan kembali ke tanahair setelah menamatkan penugasan di Lubnan selama setahun mulai 1 Oktober 2019 yang lalu.

“Kontinjen MALBATT 850-7 keseluruhannya diketuai oleh Kolonel Khairul Anwar Soib, melibatkan seramai 850 anggota terdiri dari 80 pegawai dan 770 anggota LLP termasuk 3 pegawai dan 27 anggota dari ABDB serta seorang Pegawai Awam Kewangan Kementerian Pertahanan,

“Setelah setahun berkhidmat di bawah naungan panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), MALBATT 850-7 dengan rasminya telah menyerahkan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada MALBATT 850-8 yang diketuai oleh Kolonel Azudin Hassan pada 14 November 2020 lalu,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya, sepanjang penugasan di Lubnan, MALBATT 850-7 telah mempamerkan disiplin dan mutu kerja yang cemerlang sekaligus membuktikan keupayaan serta kemampuan ATM dalam melaksanakan misi pengaman di peringkat antarabangsa.

“Kontinjen ini juga berjaya mengekalkan reputasi baik di kalangan masyarakat setempat dan antarabangsa,” ujarnya.

Sebelum menjalani kuarantin wajib di MALBATT Village, Port Dickson, kesemua pegawai dan anggota yang telah kembali ke Malaysia menjalani pemeriksaan kesihatan yang dijalankan oleh pasukan Perubatan dari Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Institut Perubatan Penerbangan dan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling. – airtimes.my

Galeri Gambar:

Related Articles

Leave a Reply