Home Semasa MPN minta kerajaan benarkan pencarum keluarkan Akaun 1 KWSP

MPN minta kerajaan benarkan pencarum keluarkan Akaun 1 KWSP

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Majlis Profesor Negara (MPN) meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan bagi membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 KWSP.

MPN dalam satu kenyataan berkata, inilah masanya pihak kerajaan benar-benar menunjukkan rasa prihatin dan tulus dalam membantu rakyat keluar daripada himpitan ekonomi akibat COVID-19.

“Bajet 2021 tentunya dinantikan oleh rakyat sebagai bajet luar biasa bagi mengharungi halangan, cabaran dan suasana yang luar biasa,

“Cadangan supaya KWSP membenarkan pencarum mengeluarkan secara one-off daripada akaun 1 dalam jumlah antara RM5 ribu hingga RM10 ribu amat dialu-alukan,

“Dalam persekitaran ekonomi yang tidak memberangsangkan, negara memerlukan rakyat mempunyai kuasa beli yang tinggi untuk mengekal sektor ekonomi terus berkembang dan pembuangan pekerja dapat diberhentikan,” katanya.

Menurut MPN, sekiranya cadangan ini dilaksanakan, KWSP tidak akan memberi tekanan ke atas pasaran bon tempatan.

“Kita percaya jumlah pencarum yang mahu mengeluarkan dalam akaun 1 KWSP mungkin kurang sedikit daripada mereka yang mengambil Skim i-Lestari dan jumlah yang dijangka akan dikeluarkan mungkin pada aras di bawah RM60 billion,

“Betul simpanan KWSP adalah untuk hari tua, tetapi tidak salah jika ianya digunakan sedikit oleh rakyat semasa mereka susah,

“Semasa ekonomi pulih pada masa akan datang, mintalah mereka meningkatkan semula caruman yang telah dikeluarkan menerusi ‘one-off’ ini,” ujar MPN.

MPN menambah, untuk negara kembali pulih daripada kemelut ekonomi pada masa akan datang, kerajaan perlu berjiwa besar dengan meniliti dan memperhalusi setiap cadangan serta idea yang diberikan tanpa mengira latar belakang politik.

“Fenomena yang luar biasa menuntut polisi dan kebijakan yang luar biasa, kepentingan rakyat serta kesejahteraan rakyat mesti diutamakan. Itulah norma baharu yang patut menjadi amalan kita,” tegasnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply