TAWAU, 1 Nov – Seramai 1,995 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah berjaya diusir keluar menerusi Operasi Cegah PATI (OCP) Laut kerana memasuki perairan Sabah secara tidak sah bagi tempoh April sehingga Oktober tahun ini.
Ketua Staf Operasi Laut, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Laksma (M) Hamid Mohd Amin berkata, kesemua mereka ditahan semasa memasuki daerah ini melalui laluan tidak diwartakan di sekitar perairan batu 1 hingga batu 5, Jalan Apas.
“Walau bagaimanapun, tindakan kita pada masa kini ialah mengusir atau mengarahkan mereka balik ke negara asal mereka masing-masing bagi mengekang dan memutuskan penularan wabak COVID-19 dalam kalangan PATI”, katanya dalam hantaran di media sosial rasmi ESSCOM.
Beliau berkata, kejayaan ini adalah hasil kerjasama dan sokongan semua agensi keselamatan di daerah ini dalam melaksanakan operasi bersepadu dalam Operasi Cegah PATI (OCP).
Menurutnya lagi, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi penguatkuasa dalam OCP laut akan terus memperketatkan kawalan di sempadan perairan daerah ini terutamanya kemasukan PATI dari Pulau Sebatik, Indonesia bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
“OCP Laut yang mula diaktifkan pada awal April lalu, merupakan sebuah Operasi Bersepadu Khas melibatkan pelbagai agensi keselamatan yang ditubuhkan khusus bagi mengekang kemasukan PATI dari negara Jiran ke negara ini”.
“Sebanyak 3 buah kapal dan 8 bot telah diatur gerak dalam operasi ini melibatkan kekuatan anggota seramai 9 pegawai dan 89 anggota lain-lain pangkat”.
“Ini adalah hasil kerjasama semua agensi penguatkuasaan yang turut terlibat dan membantu dalam operasi ini seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)”, katanya.
Sementara itu, Hamid menyeru kepada semua komuniti maritim agar memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai pencerobohan PATI melalui laluan yang diwartakan kepada pasukan keselamatan untuk tindakan segera.
“Komuniti Maritim juga diingatkan supaya jangan bersubahat dan bersekongkol dengan tekong-tekong laut yang cuba menyeludup masuk PATI ke daerah ini. Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati ada pihak yang bertindak bersubahat dan melindungi PATI termasuk bersekongkol dengan tekong laut,” tambahnya. –airtimes.my