Home Semasa PKPB di Selangor, KL dan Putrajaya mulai 14 Okt ini

PKPB di Selangor, KL dan Putrajaya mulai 14 Okt ini

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 12 Okt – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa 12.01 tengah malam 14 hingga 27 Oktober ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sidang khas Majlis Keselamatan Negera (MKN) membuat keputusan itu selepas mendengar nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Selepas mendapat nasihat KKM dan mengambil kira kes peningkatan dan penularan yang berlaku seperti di Klang, Petaling, Gombak dan daerah-daerah lain,” kata pada sidang media hari ini.

Ismail Sabri berkata, semasa pelaksanaan PKPB itu aktiviti yang dilarang adalah seperti pergerakan keluar masuk atau merentas daerah adalah tidak dibenarkan.

Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.

Selain itu, hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.

“Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup,

“Masjid dan rumah ibadat bukan islam lain adalah ditutup. Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan adalah tidak dibenarkan,

“Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, semua kegiatan ekonomi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Sehingga semalam, statistik oleh KKM menunjukkan jumlah kes jangkitan COVID-19 di Sabah adalah sebanyak 4,330 diikuti Kuala Lumpur 2,754, Selangor 2,601 kes. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply