Home Semasa Kadar penularan COVID-19 Malaysia lebihi paras kritikal – Ketua Pengarah Kesihatan

Kadar penularan COVID-19 Malaysia lebihi paras kritikal – Ketua Pengarah Kesihatan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini menegaskan kadar peningkatan kes jangkitan COVID-19 melebihi paras kritikal.

Menurut beliau, ini adalah berdasarkan peningkatan nilai Ro/Rt (R nought) yang merujuk kepada kebolehjangkitan semasa wabak itu.

“Peningkatan Ro/Rt daripada 0.86 ke 1.72 dan terus ke 2.34, melebihi paras kritikal 1.6. Kes kebolehjangkitan juga dilihat meningkat daripada paras terendah 150 kes dan terkini 501 kes,” kata Noor Hisham dalam satu hantaran di akaun media sosialnya.

Beliau sebelum ini menjelaskan nilai tersebut merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus di dalam masyarakat.

“Ia merujuk kepada keberjangkitan, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh virus yang dibawa oleh kes dalam wabak tersebut,” katanya pada Mei lalu.

Beliau sebelum ini telah menyuarakan amaran bahawa ketidakpatuhan dan sikap tidak endah di kalangan masyarakat boleh menyebabkan COVID-19 kembali merebak.

Hari ini, Malaysia telah mencatatkan kes harian tertinggi dalam tempoh 3 bulan iaitu sebanyak 182 kes. Daripada jumlah tersebut, 181 kes adalah melibatkan penularan tempatan. –  airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply