Home Semasa Hubungan Malaysia, Arab Saudi kekal erat dan produktif

Hubungan Malaysia, Arab Saudi kekal erat dan produktif

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar menyatakan Arab Saudi akan terus kekal sebagai satu daripada rakan dagang terbesar negara di rantau Asia Barat dengan nilai dagang sebanyak RM22.3 bilion telah direkodkan pada tahun lepas.

Beliau berkata, walaupun hubungan Malaysia dengan Arab Saudi mungkin dilihat agak menurun sejak kebelakangan ini, namun kerajaan sentiasa komited untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan Arab Saudi dalam pelbagai bidang.

“Dalam hal ini, Kementerian Luar Negeri juga sentiasa mengambil pendekatan proaktif ke arah hubungan yang lebih mantap di antara kedua-dua negara,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Senator Siti Fatimah Yahaya (BN) berhubung kedudukan hubungan diplomatik Malaysia dengan Arab Saudi yang dilihat telah menurun di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan langkah-langkah yang diambil untuk memulihkan semula hubungan berkenaan.

“Hasil hubungan baik Malaysia dengan Arab Saudi, semasa negara dilanda pandemik COVID-19, Arab Saudi menyumbang sejumlah peralatan perubatan kepada kerajaan Malaysia, di mana ianya merupakan sumbangan terbesar yang diterima oleh Malaysia daripada negara asing,

“Peralatan yang disumbangkan termasuklah jutaan unit pelitup muka, peralatan-peralatan perubatan yang cangih untuk menangani wabak ini,” tambahnya.

Kamarudin turut menjelaskan kerajaan Arab Saudi juga telah memudahkan cara urusan repatriasi rakyat Malaysia dari Arab Saudi susulan penutupan ruang udara antarabangsa yang disebabkan peningkatan COVID-19 di negara berkenaan.

“Sehingga hari ini, katanya 1,264 rakyat Malaysia telah dibawa pulang dari negara itu melalui 11 penerbangan khas pesawat Saudi Arabian Airline (SAUDIA). Daripada 11 penerbangan tersebut, salah satu daripadanya telah ditaja oleh kerajaan Arab Saudi iaitu pada 11 April,

“Seramai 45 rakyat Malaysia telah mendapat manfaat daripada penerbangan percuma itu,

“Walaupun terdapat kekangan ekonomi dan COVID-19, hubungan dua hala Malaysia – Arab Saudi terus dikukuhkan melalui panggilan telefon, persidangan video antara Menteri Luar kita dengan menteri Luar Arab Saudi serta perhubungan di pelbagai peringkat tertinggi.

“Justeru itu, adalah jelas bahawa hubungan dua negara ini dilihat semakin produktif dan dinamik di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply