Dialog Shangri-La 2025 yang berlangsung di Singapura memperlihatkan pertarungan naratif terbuka antara dua kuasa besar dunia, iaitu Amerika Syarikat dan China.
Sidang keselamatan tahunan yang seharusnya menjadi platform diplomasi ketenteraan serantau kini dicemari ketegangan geopolitik yang semakin mendalam sekali gus mencerminkan realiti baharu di Asia-Pasifik yang tidak menentu.
Dalam ucapan pertamanya sebagai Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth memberi amaran bahawa ancaman ketenteraan China terhadap Taiwan adalah satu kemungkinan nyata dalam masa terdekat. Tegasnya, sebarang cubaan oleh Beijing untuk menakluk pulau itu akan membawa kepada akibat yang dahsyat.
Selain memberi amaran keras kepada China, Hegseth turut menggesa negara-negara Asia agar meningkatkan perbelanjaan pertahanan mereka sehingga 5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Langkah ini menurutnya, penting untuk memperkukuh keupayaan pertahanan kolektif di rantau ini.
Nada ucapan Hegseth yang tegas dan berterus terang mencerminkan pendekatan baharu pentadbiran Trump dalam membina kekuatan serantau melalui peningkatan tekanan terhadap Beijing. Amerika Syarikat secara terbuka menggesa sekutunya di Asia agar memikul lebih banyak tanggungjawab keselamatan, sambil memperkukuh kehadiran tenteranya di rantau Indo-Pasifik.
Walau bagaimanpun, reaksi dari China tidak mengambil masa lama. Kementerian Luar Negeri China mengecam kenyataan Hegseth sebagai provokatif dan tidak bertanggungjawab. Beijing menuduh Amerika Syarikat membawa semula mentaliti Perang Dingin serta menjadi punca utama ketegangan di Asia-Pasifik.
Sebagai tindak balas, China menghantar delegasi peringkat rendah ke sidang tahun ini, tindakan yang dilihat sebagai mesej politik bahawa Beijing tidak bersetuju dengan hala tuju forum yang kini semakin didominasi oleh retorik Washington dan sekutunya.
Ketiadaan wakil kanan tentera China memperlihatkan jurang komunikasi yang semakin melebar antara kedua-dua kuasa besar ini. Ramai pemerhati berpendapat, ketegangan yang tidak dikawal melalui saluran diplomatik berisiko mencetuskan salah tafsir atau insiden ketenteraan di kawasan sensitif seperti Selat Taiwan atau Laut China Selatan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi ucapan semasa di Shangri-La Dialogue 2025, Singapura (Foto: IISS)
Sementara itu, di tengah-tengah percaturan dua gergasi ini, Malaysia membawa suara yang lebih seimbang. Perdana Menteri Anwar Ibrahim menekankan keperluan untuk mengekalkan apa yang beliau sebut sebagai keseimbangan dinamik.
Ujar beliau, Asia Tenggara memerlukan kerjasama tanpa paksaan dan keharmonian tanpa tekanan geopolitik. Malah, Malaysia bukan sahaja menolak pendekatan blok atau pakatan ketenteraan yang hanya menguntungkan satu pihak, sebaliknya menyeru agar pendekatan serantau yang terbuka dan inklusif dikekalkan.
Kenyataan Perdana Menteri mencerminkan pendirian tradisional Malaysia dalam dasar luar yang tidak berpihak. Ia juga menunjukkan keprihatinan mendalam negara-negara ASEAN terhadap kemungkinan Asia Tenggara menjadi medan pertembungan kuasa besar jika retorik dan persaingan terus memuncak.
Selain itu, Felo Bukan Pemastautin dalam Program Asia di Foreign Policy Research Institute, Chris Estep pula berpandangan, ucapan Hegseth mencerminkan perubahan ketara dalam strategi Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Trump.
Beliau berkata, tumpuan kini lebih kepada penahanan China di Indo-Pasifik dan peningkatan perkongsian beban dengan sekutu serantau. Namun, Estep turut menyuarakan kebimbangan mengenai konsistensi dan komitmen jangka panjang Amerika Syarikat terhadap rantau ini, terutamanya dalam konteks perubahan dasar yang kerap berlaku.
Laporan dari Lowy Institute menambah, sokongan terhadap kehadiran ketenteraan Amerika Syarikat di Asia semakin berbelah bahagi. Sesetengah melihatnya sebagai faktor kestabilan, manakala yang lain melihatnya sebagai punca ketegangan yang berterusan.
Keadaan ini meletakkan negara-negara ASEAN dalam dilema strategi yang semakin rumit.
Oleh yang demikian, Dialog Shangri-La 2025 secara jelas memperlihatkan betapa dalamnya jurang antara Washington dan Beijing dari segi visi keselamatan serantau. Retorik keras yang disampaikan oleh kedua-dua pihak memberi gambaran bahawa masa depan rantau ini bakal ditentukan oleh sejauh mana mereka mampu mengekang konfrontasi daripada berubah menjadi konflik terbuka.
Negara-negara seperti Malaysia tidak mempunyai kemewahan untuk memihak secara membuta tuli. Sebaliknya, pendekatan berhati-hati, pragmatik dan berkecuali dilihat sebagai satu-satunya jalan untuk mengekalkan kestabilan dan kemakmuran jangka panjang di Asia Tenggara.
Sidang kali ini mengingatkan bahawa keamanan serantau bukan sesuatu yang boleh dianggap terjamin. Ia menuntut kewaspadaan berterusan, diplomasi yang bijaksana serta keberanian untuk berkata tidak kepada tekanan yang bersifat unilateral (sebelah pihak). -airtimes.my
#AirTimes #Diplomatik #Dialogshangrila2025 #diskusi

