Home Semasa Menteri Luar Australia lawat Malaysia, perkukuh hubungan dua hala

Menteri Luar Australia lawat Malaysia, perkukuh hubungan dua hala

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 5 Nov – Senator Marise Payne akan mengadakan lawatan kerja beliau yang pertama ke Malaysia sebagai Menteri Luar Negeri Australia bermula 5 hingga 7 November ini.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Payne akan mempengerusikan secara bersama Mesyuarat Tahunan Menteri-Menteri Luar Negeri ke-4 antara Malaysia dan Australia, Annual Foreign Ministers’ Meeting (AFMM) pada 6 November 2021.

“AFMM kali ini merupakan mesyuarat pertama yang diadakan selepas kedua-dua Perdana Menteri Malaysia dan Australia melancarkan Kerjasama Komprehensif Strategik pada 27 Januari 2021,” ujarnya.

Menurut Wisma Putra, Payne turut akan mengadakan perjumpaan bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Wisma Putra menjelaskan, Malaysia dan Australia merupakan rakan strategik yang rapat dan penting.

“Lawatan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala sedia ada yang erat dan utuh dalam pelbagai bidang,

“Terutamanya di bawah kerangka Kerjasama Komprehensif Strategik yang meliputi bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertahanan, hubungan antara rakyat dan kerjasama pasca COVID-19,” katanya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply