Home PolitikPakatan Harapan Tampal tulisan Cina: Amanah desak Pemuda DAP mohon maaf

Tampal tulisan Cina: Amanah desak Pemuda DAP mohon maaf

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil hari ini mendesak Pemuda DAP (DAPSY) Sarawak memohon maaf berhubung tindakan menampal tulisan Cina pada tiga papan tanda jalan di Kuching semalam.

Beliau berkata tindakan itu amat dikesali kerana tidak menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Tindakan seperti ini boleh mengundang salah faham di kalangan masyarakat lain di dalam negara ini terutama orang Melayu yang boleh diapi-apikan oleh sesetengah pihak untuk menyemarakkan sentimen perkauman,

“Sebagai bahasa rasmi negara, Bahasa Melayu adalah tunjang kepada perpaduan masyarakat majmuk negara ini dan seharusnya DAPSY lebih peka akan keperluan ini dalam membina sebuah negara bangsa yang makmur dan berdaya saing,

“Sebagai golongan muda, mempromosi dan membina perpaduan di kalangan rakyat negara ini kini menjadi keutamaan perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, alasan yang diberikan bagi memudahkan pelancong asing terutama dari negara China adalah remeh kerana setiap pelancong perlu menghormati bahasa kebangsaan sesebuah negara.

“Sudah pasti pelancong luar juga mahu mengenali bahasa kebangsaan negara yang dikunjungi,

“Inilah masanya rakyat Malaysia mempromosikan Bahasa Melayu dan pada masa yang sama menunjukkan jati diri rakyat Malaysia yang berbangga dengan bahasanya sendiri,

“Setiap negara mempunyai bahasa kebangsaan yang membentuk identiti sesebuah negara,” ujarnya.

Tambah Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perbuatan DAPSY ini adalah tindakan yang tidak berperlembagaan dan melanggar Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan juga satu perbuatan vandalisme.

“Oleh itu, satu tindakan pencegahan (deterrent) perlu diambil. Selain itu, DAPSY perlu meminta maaf di atas keterlanjuran perbuatan ini,

“Tulisan bahasa Cina sebagai bahasa ibunda kaum Cina hendaklah digunakan pada premis yang sesuai dan mengikut keperluan dalam menghormati hak setiap kaum negara ini,” katanya.

Semalam tular di media sosial tindakan sekumpulan ahli DAPSY Sarawak menampal pelekat dalam Bahasa Cina pada beberapa papan tanda jalan di banda raya Kuching atas alasan ia perlu diterjemahkan untuk keperluan pelancong dari China. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply