Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran

APMM tahan kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 21 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tanjung Sedili telah menahan sebuah kapal tangki di perairan Johor timur petang semalam selepas didapati berlabuh tanpa kebenaran.

Kapal tangki jenis Very Large Crude Carrier (VLCC) sepanjang 245 meter yang berdaftar di Singapura itu ditahan pada kedudukan 13 batu nautika timur laut Tanjung Siang sekitar jam 2.15 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kapal tersebut dikendalikan 22 kru lelaki termasuk nakhoda (Master) berumur dalam lingkungan 19 hingga 61 tahun warga negara Ukraine, China, Myanmar, Russia dan Georgia.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran Pengarah Laut,

“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM 100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam Facebook APMM, hari ini.

Beliau berkata, penahanan tersebut merupakan kali keempat pada bulan ini yang melibatkan kesalahan yang sama.

“Justeru, pemilik kapal atau pengusaha perkapalan diminta memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia dan mengikut peraturan atau segera beredar kerana Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan yang sewajarnya,” jelasnya.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply