Tanjung Malim, 15 Ogos – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan 2 calon Bebas.
Pegawai Pengurus pilihan raya, Shamsul Ridzuan Idris mengumumkan senarai calon yang bertanding, 10.37 hari ini selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Tanjung Majlis Daerah Tanjong ditutup pada jam 10 pagi.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima kertas penamaan daripada 3 orang calon untuk bertanding DUN bahgian Pilhan Raya Negeri N.58 Slim,
“Kita menyemak kertas-kertas penamaan berkenaan dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak pencalonan,” katanya.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz,43, tampil sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi berkenaan.
Pencabarnya dari calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, mewakili parti baharu yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Manakala seorang lagi calon Bebas adalah Santhara Sekaran Subramaniam, 42.
PRK Dun Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua UMNO bahagian Tanjung Malim, pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.- airtimes.my